Kalimah Allah bukan untuk Sarawak sahaja, kata Baru Bian


Desmond Davidson

Baru Bian berkata penghakiman Mahkamah Tinggi terpakai di seluruh Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim silap apabila beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” dan tiga perkataan lain dalam konteks agama hanya terpakai untuk Sarawak, kata Adun Ba’kelalan, Baru Bian.

Baru berkata perdana menteri tidak mempunyai asas berkata demikian kerana ia tidak tepat di sisi undang-undang.

“Penghakiman Mahkamah Tinggi terpakai di seluruh Malaysia,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Beliau juga berkata perdana menteri bukan sahaja bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dalam sidang medianya semalam, beliau juga mengelirukan rakyat dengan “membuat andaian atau kesimpulan tidak tepat mengenai kesan undang-undang penarikan balik rayuan itu”.

Baru semalam juga berkata undang-undang itu sepatutnya digunakan untuk semua negeri di Malaysia.

“Beliau membayangkan setiap undang-undang negeri boleh melarang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu yang bermaksud menyekat kebebasan beragama.”

Baru berkata apabila Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin - kini hakim Mahkamah Rayuan - dalam keputusannya berkata arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan oleh bukan Islam adalah “tidak sah” dan “tidak rasional”.

“Perlembagaan persekutuan tidak mendiskriminasi rakyat berbilang kaum atau negeri.

“Sebagai ketua kerajaan perpaduan, perdana menteri tidak boleh lari daripada bercakap fakta, terutamanya di mana hak minoriti berisiko terhakis dan disekat,” katanya.

Kerajaan persekutuan pada 18 April memfailkan notis menarik balik rayuannya bagi menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan “Allah” untuk menggambarkan Tuhan.

Baru berkata “sumber semua masalah” ialah arahan pentadbiran 1986 oleh KDN yang melarang penggunaan perkataan tertentu oleh orang bukan Islam.
Katanya, kes sekarang pada asasnya adalah mencabar kesahihan arahan itu.

Semalam, Baru menegaskan dalam penghakimannya, hakim berkata KDN melebihi kuasanya dengan perintah itu, dan larangan sedemikian adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Beliau juga menegaskan hakim tidak membezakan antara Sarawak dan negeri lain di Malaysia Barat dalam penghakiman itu.

“Dengan menarik balik rayuan itu, Peguam Negara dan kerajaan secara efektif menerima keputusan hakim secara keseluruhan, sekali gus mengakui arahan 1986 adalah tidak sah.

“Menteri dalam negeri memahami perkara ini, seperti dibuktikan oleh klip video semalam sidang media beliau mengenai perkara itu.

“Beliau sangat jelas mengenai perkara ini, dengan menyatakan KDN tidak lagi boleh menguatkuasakan arahan itu menurut PPPA,” kata Baru merujuk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1988 (PPPA), yang digunakan kerajaan persekutuan untuk mengharamkan penggunaan perkataan itu. – 17 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen