Tak masuk akal DBP cadang hukum individu tak hormat Bahasa Kebangsaan, kata Baru Bian


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian menyifatkan cadangan DBP untuk mendenda atau memenjarakan pesalah Bahasa Kebangsaan sebagai sesuatu yang membingungkan, mengarut kerana, antara lain, maksud 'tidak menghormati' itu terlalu subjektif untuk ditafsir. – Gambar Facebook, 24 Jun, 2022.

CADANGAN untuk mendenda atau hukuman penjara kepada yang tidak menghormati Bahasa Melayu merupakan satu lagi manifestai sikap tak peduli kerajaan persekutuan, penjawat awam dan agensinya, kata Ahli Parlimen Selangau Baru Bian.

Wakil rakyat Parti Sarawak Bersatu itu berkata membingungkan apabila Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Awang Sariyan mendakwa yang ianya bukan hukuman tetapi untuk “membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara.”

“Saya tak faham kenapa menghukum seseorang kerana tidak hormat Bahasa Melayu boleh buatkan seseorang itu cintakan negara,” kata Baru dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa, Awang mencadangkan Akta DBP 1959 dipinda untuk memasukkan denda RM50,000 atau penjara bagi mereka yang tidak menghormati Bahasa Kebangsaan.

Baru berkata sifat cintakan negara, patriotisme perlu dipupuk oleh pemimpin negara melalui sikap prihatin dan menghormati semua orang.

“Jika semua rakyat dilayan dengan baik dan diberikan keadilan, kesaksamaan tanpa mengira kaum dan agama, cinta dan patriotisme akan jadi tindak balas semula jadi dalam hati setiap orang.

“Cinta dan patriotisme tidak boleh dipaksa dengan hukuman dan paksaan. Malah, tindakan menghukum sebegitu boleh memberi kesan sebaliknya, menimbulkan rasa dendam dan kutukan,” katanya.

Beliau turut bertanya apakah maksud “tidak menghormati” yang dikatakan Awang itu.

Baru berkata perkataan “tidak menghormati” adalah perkataan biasa digunakan dan terbuka kepada pelbagai tafsiran.

“Ia sangat subjektif sama ada tindakan atau ucapan tertentu adalah tidak sopan. Sesuatu yang dihasilkan sebagai karya seni mungkin dipandang sebagai tidak hormat oleh sesetengah orang lain.”

Beliau bertanya sama ada penggunaan perkataan Inggeris dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai tidak sopan.

“Semua bahasa sentiasa berkembang, dan banyak perkataan Bahasa Melayu diterima pakai daripada bahasa Inggeris. Ini perlu apabila tiada perkataan yang sesuai dalam bahasa untuk istilah tertentu.”

Baru skeali lagi bertanya sama ada adaptasi ini boleh dianggap sebagai tidak menghormati.

Dalam pada itu, beliau turut Awang Sariyan tentang hak Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Itu, kata Baru, bukan satu-satunya hak terpelihara kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hak itu dilindungi di bawah artikel 161 dalam bahagian XIIA Perlembagaan Persekutuan, dan tidak pernah dilepaskan oleh Sarawak.

“Adakah penggunaan berterusan bahasa Inggeris oleh rakyat Sarawak dianggap ‘tidak menghormati’ oleh DBP?”

Baru berkata rakyat Sarawak akan lebih bersedia terhadap DBP jika mereka boleh melibatkan diri dalam pembinaan negara bangsa yang konstruktif seperti menghidupkan semula Biro Kesusasteraan Borneo (BLB) yang pada masa lalu menghasilkan penerbitan berkualiti termasuk buku teks, dalam bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan bahasa etnik di negeri ini.

BLB telah ditamatkan pada 1977 apabila DBP mengambil alih.

“Atas semangat Keluarga Malaysia, DBP harus mengiktiraf bahasa etnik Sarawak dan Sabah mesti dipelihara agar tradisi dan budaya kita dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

“Mempromosikan bahasa kebangsaan dengan kaedah pendidikan dan berhibur akan jauh lebih berkesan daripada melayan rakyat seperti pelajar sekolah dan mengancam mereka dengan hukuman kerana tidak mematuhi idea sesetengah orang tentang tingkah laku ‘menghormati’,” katanya. – 24 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen