CUBA menangguhkan perarakan tahunan Hari Pekerja Antarabangsa buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun akibat masalah kekurangan bahan api.
Kesatuan Pusat Pekerja Cuba, yang menganjurkan acara terbabit mengumumkan keputusan itu pada Ahad, lapor United Press International (UPI).
Presiden Miguel Díaz-Canel berkata hujan akan menghalang perayaan pada Isnin, dan menangguhkannya selama lima hari.
“Hujan di negara ini akan menghalang kita daripada keluar untuk meraikan #1Mayo.
“Kami tidak membatalkan sambutan, kami hanya menangguhkannya untuk tempoh lima hari,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Amaran ribut petir yang berpotensi mencetuskan kejadian banjir kilat dikeluarkan di wilayah barat negara itu pada Ahad, menurut kerajaan Cuba dalam catatan di Facebook.
Sementara itu, Diaz-Canel mendakwa Cuba hanya menerima kira-kira dua pertiga daripada bahan api yang diperlukannya, susulan pembekal di negara lain tidak memenuhi kewajipan kontrak mereka.
BBC melaporkan pada kebiasaannya ratusan ribu orang dibawa ke dataran dengan menaiki bas untuk perarakan.
Perarakan dibatalkan pada 2020 dan 2021 kerana pandemik Covid-19, kali terakhir perarakan itu dibatalkan adalah pada 1959 semasa Revolusi Cuba. – Bernama, 1 Mei, 2023.
Komen