Mana madaninya? Ahli politik masih disekat masuk universiti


Naim Al-Kalantani

Mahasiswa dalam kampus dilatih dengan ilmu, idea dan pengetahuan untuk membezakan yang mana baik dan buruk, benar dan salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac 2023.

SASTERAWAN Indonesia, Pramoedya Ananta Toer pernah berkata, “Apalah guna sekolah didirikan, kalau tak dapat mengajar mana yang benar dan mana yang tidak.”

Petikan keramat ini menjadikan sekolah tempat suci yang didiami oleh beraneka ragam manusia untuk menimba pengetahuan. Ilmu dan pengetahuan yang ditimba itu akan dibungkus sebagai bekal untuk meneruskan hidup masing-masing.

“Sekolah” sama sahaja fungsinya dengan universiti. Di universiti, statusnya lebih elegan, di situlah lahirnya para intelektual (menurut Syed Hussein Alatas) dan cendekiawan (menurut Maszlee Malik). Di sanalah terjadinya pergomolan ilmu sehingga mahasiswa menjadi bijak pandai.

Universiti perlu menjadi tempat sakral bagi pembudayaan ilmu. Ilmu yang dianggap salah, atau ilmu yang dianggap mengelirukan, pun perlu dibahas di ruang universiti. Ia kerana tiada tempat lain yang lebih layak untuk mengetengahkan segala perbincangan, perbahasan dan wacana yang berlaku.

Pada Selasa lalu, UiTM mengeluarkan satu memo untuk memaklumkan siswa tidak dibenarkan untuk terlibat dalam sebarang program yang tidak mempunyai kelulusan.

Malam tadi, sekitar selepas tamat solat terawih, Syed Saddiq bersama Mahasiswa Demokratik muncul di hadapan pintu masuk UiTM Shah Alam. Kehadirannya disambut dengan berpuluh mahasiswa lain yang menunggu di luar pagar.

Katanya ada juga mahasiswa di dalam universiti itu sedia menunggu kehadiran pemimpin Muda itu.

Siaran langsung dibuat di TikTok Saddiq. Saya yakin 100%, memang mustahil Saddiq dan kumpulannya berjaya masuk ke dalam. Tapi itu bukan isunya, isunya adalah mendengar respons daripada pihak UiTM.

Mengecewakan. UiTM hanya menghantar wakil supaya menghalang kumpulan Saddiq masuk.

Pegawai yang menjadi wakil itu hanya mengulangi memo UiTM yang dikeluarkan, “sudah ada aktiviti yang disediakan untuk pelajar ketika Ramadan untuk menghormati bulan ini.”

Begitulah katanya kurang lebih.

Saya yakin yang hadir itu bukannya tidak tahu peluang untuk mereka masuk itu sangat tipis, tapi mereka mahu mendengar sendiri jawapan daripada UiTM, dan jawapan daripada pegawai itu sangat mengecewakan.

Saya rasa Pengerusi Muda Negeri Sembilan Tarmizi Anuwar sudah tidak tahan dengan jawapan sebegitu, lantas mencelah proses konfrontasi antara Saddiq dan pegawai tadi.

“Kalau tak boleh ada aktiviti lain pada bulan Ramadan, saya rasa kelas pun mereka tak dibenarkan masuk sebab itu bukan aktiviti agama,” katanya.

Sedas soalan dari Tarmizi yang membuatkan saya ketawa terbahak-bahak.

Wacana yang ingin dianjurkan oleh Muda atau Saddiq sendiri sebenarnya boleh mahasiswa boleh berdialog-dialog mengenai masalah universiti dan negara dengan bebas, bersesuaian dengan cita-cita pengasasnya yang mahu agar pelajar menggunakan sepenuhnya bagi menyatakan fikiran mereka.

Kita tidak perlu berdemo dikawal polis atau meruntuhkan pagar Universiti Malaya (rujuk peristiwa 14 Oktober, 2014) untuk menghadiri pidato Anwar Ibrahim. Kita tidak perlu datang membawa kayu beluti untuk bersiaga memukul pengarah Mentega Terbang kerana membawa “idea” yang berbeza.

Yang kita perlu buat adalah hadir dengan hati yang lapang ke majlis dialog dan mempersoalkan setiap tindakan ahli politik tanpa menggunakan kekerasan atau intimidasi.

Ketika itu barulah akal dan fikiran kita dicabar. Dan ketika itulah mahasiswa ini boleh mengimbangi yang mana sebenarnya hak dan batil. Barulah ia selari dengan kata-kata ahli falsafah agung Aristotle, “Tanda minda berpendidikan ialah kebolehan seseorang untuk meneroka sebuah pemikiran tanpa menerimanya”.

Dan yang lebih penting, saya teguh dengan pendirian Wan Ji Wan Hussein dalam satu ucapannya pernah berkata, “dilarang melarang orang berdialog”.

Kini UiTM melarang dialog itu berlaku. Persoalannya, ia sampai bila dan mahu guna alasan apa lagi?

Adakah nanti kalau Saddiq diberi julukan “Perdana Menteri Datuk Seri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” baru UiTM akan buka pagarnya dan tanpa ada kemaluan sepeser pun, UiTM mengucapkan tahniah sebagaimana poster Universiti Malaya tahun lalu?

Di mana Madaninya kalau masih nak menghalang dialog ahli politik dalam pagar universiti? – 31 Mac, 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen