Putrajaya tidak bercadang mansuh HEP


Walaupun segala aktiviti dan pergerakan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa sendiri, HEP masih mempunyai mandat dan tanggungjawab lebih besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac 2023.

KERAJAAN tidak bercadang untuk memansuhkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti awam kerana ia memainkan peranan yang sangat penting terutamanya berhubung pembangunan mahasiswa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mohammad Yusof Apdal berkata walaupun segala aktiviti dan pergerakan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa sendiri, HEP masih mempunyai mandat dan tanggungjawab lebih besar. 

“Tugas hakiki mereka bukan sahaja untuk menguruskan perkara-perkara bersifat mikro sebaliknya antara lain menumpukan kepada pembangunan mahasiswa, membuka jaringan kerjasama dengan masyarakat dan industri dan merancang strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul tambahan dibawa Chow Yu Hui (PH-Raub) pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini yang mengemukakan usul agar HEP dimansuhkan bagi memberikan lebih autonomi kepada mahasiswa.

Menurut Yusof, sehingga kini universiti cemerlang terkemuka dunia masih mengekalkan HEP walaupun pelajar mempunyai kebebasan penuh. – Bernama, 13 Mac 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen