Setengah juta hilang tempat tinggal akibat Taufan Freddy di Malawi


Taufan Freddy yang melanda Malawi minggu lalu menyebabkan lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal di negara itu, kata PBB. – Gambar AFP, 22 Mac, 2023.

TAUFAN maut yang melanda Malawi minggu lalu menyebabkan lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal di negara itu, kata PBB semalam sambil memberi amaran tentang keperluan kemanusiaan yang meningkat.

Siklon Freddy menyebabkan hujan lebat melanda selatan Malawi dalam tempoh enam hari, dengan banjir dan tanah runtuh merosakkan rumah penduduk, jalan raya serta jambatan.

“Hampir 508,250 orang kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 499 terbunuh akibat banjir di Malawi, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB.

“Hujan lebat, angin kencang dan banjir yang disebabkan oleh taufan itu mengakibatkan kematian penduduk di 14 daerah—hampir separuh negara—dengan sekurang-kurangnya 1,300 orang cedera dan 427 orang hilang,” menurut pihak berkuasa.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan lebih 1,000 orang dipindahkan serta lebih 500 pusat perlindungan kecemasan dibuka, katanya.

“Mereka yang terjejas amat memerlukan sokongan kemanusiaan segera dengan keperluan paling segera ialah tempat tinggal, makanan, air bersih, sanitasi dan kebersihan, kesihatan dan perlindungan”, tambahnya.

Negara itu sudah pun bergelut dengan wabak kolera paling maut dalam rekod apabila ribut melanda. Wabak itu membunuh lebih 1,700 orang dan pihak berkuasa serta NGO bimbang ia akan menjadi lebih teruk.

“Rakyat Malawi sedang berdepan satu lagi bencana besar dengan potensi kesan berpanjangan. Adalah penting untuk kita segera menghubungi komuniti yang terjejas memandangkan keperluan meningkat mengikut jam”, kata IOM.

Taufan Freddy pertama kali melanda selatan Afrika pada akhir Februari, melanda Madagascar dan Mozambique, menyebabkan Malawi tidak terjejas.

Lebih sejuta orang terjejas di Madagascar dan Mozambique dengan lebih 160,000 orang kehilangan tempat tinggal, kata IOM.

Cuaca ekstrem berkaitan perubahan iklim semakin mendorong perpindahan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang terdedah, kata IOM.

Sepanjang dekad yang lalu ribut, banjir, kemarau dan bencana berkaitan iklim menyebabkan purata 21.6 juta perpindahan dalaman setiap tahun, katanya. – AFP, 22 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen