Malawi isytihar wabak polio


Pihak berkuasa kesihatan Malawi mengisytiharkan wabak virus polio liar jenis 1 selepas kes dikesan di ibu negara Lilongwe. – Gambar EPA, 18 Februari, 2022.

KES poliovirus liar pertama di Afrika dalam tempoh lebih lima tahun dikesan pada seorang kanak-kanak kecil di Malawi, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

Pihak berkuasa kesihatan Malawi mengisytiharkan wabak virus polio liar jenis 1 selepas kes dikesan di ibu negara Lilongwe, kata WHO.

Analisis makmal menunjukkan strain yang dikesan dikaitkan dengan satu kes di Wilayah Sindh di Pakistan. Polio masih menjadi endemik di Pakistan dan jirannya Afghanistan.

“Sebagai kes import dari Pakistan, pengesanan ini tidak menjejaskan status pensijilan bebas poliovirus liar di rantau Afrika,” kata WHO.

Afrika diisytiharkan bebas daripada polio liar asli pada Ogos 2020 selepas menghapuskan semua bentuk polio liar. Tiada kes polio berlaku di benua itu sejak empat tahun lalu.

“Berikutan pengesanan polio liar di Malawi, kami mengambil langkah segera untuk menghalang potensi penyebarannya,” kata Pengarah WHO Wilayah Afrika Matshidiso Moeti dalam satu kenyataan.

“Terima kasih kepada tahap pengawasan polio yang tinggi di benua dan kemampuan mengesan virus dengan cepat, kita boleh melancarkan respons pantas dan melindungi kanak-kanak daripada kesan penyakit ini.”

WHO berkata ia menyokong Malawi dalam menjalankan penilaian risiko dan tindak balas wabak, termasuk vaksinasi tambahan.

Pengawasan terhadap penyakit itu sedang dipertingkatkan di negara jiran.

“Kes terakhir poliovirus liar di Afrika dikenal pasti di utara Nigeria pada 2016 dan secara global hanya terdapat lima kes pada 2021. 

“Sebarang kes poliovirus liar adalah peristiwa penting dan kami akan menggerakkan semua sumber untuk menyokong tindak balas,” kata Dr Modjirom Ndoutabe, penyelaras polio rantau WHO Afrika.

Poliomielitis—istilah perubatan untuk polio—ialah virus yang sangat mudah berjangkit yang menyerang saraf tunjang dan menyebabkan lumpuh yang tidak dapat dipulihkan pada kanak-kanak.

Poliovirus biasanya merebak dalam najis orang yang dijangkiti dan dijangkiti melalui air atau makanan yang tercemar. Ia membiak dalam usus.

Walaupun tiada ubat untuk polio, vaksinasi orang ramai untuk mengelakkan mereka daripada dijangkiti sekali gus memutuskan kitaran penularan.

Pengisytiharan Ogos 2020 yang Afrika bebas daripada virus yang menyebabkan polio menjadi mercu tanda dalam kempen selama berdekad-dekad untuk menghapuskan penyakit itu di seluruh dunia.

Ia adalah endemik di seluruh dunia sehingga vaksin ditemui pada tahun 1950-an, walaupun ia masih tidak dapat dicapai oleh banyak negara miskin di Asia dan Afrika sehingga usaha besar-besaran dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Pada 1996, terdapat lebih 70,000 kes di Afrika sahaja. – AFP, 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen