Jumlah korban akibat taufan Freddy di Malawi cecah 326 orang


Pakar meteorologi mengatakan taufan Freddy luar biasa dalam tempohnya dan mempunyai ciri-ciri yang konsisten dengan amaran perubahan iklim. – Gambar AFP, 17 Mac, 2023.

KORBAN akibat taufan Freddy selepas ia membadai Malawi meningkat kepada 326 orang, kata presiden negara itu Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di seluruh rantau itu kepada lebih 400 sejak Februari.

“Sehingga semalam, jumlah kematian akibat bencana ini meningkat daripada 225 kepada 326, jumlah orang yang dipindahkan meningkat lebih dua kali ganda kepada 183,159,” kata Presiden Malawi Lazarus Chakwera di wilayah selatan yang musnah berhampiran Blantyre.

Chakwera meminta bantuan global ketika penyelamat terus mencari mangsa yang terselamat pada Khamis susulan banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat minggu ini.

Taufan itu pertama kali membadai selatan Afrika pada akhir Februari, membadai Madagascar dan Mozambique tetapi hanya menyebabkan kerosakan terhad di Malawi.

Ribut itu kemudian bergerak kembali ke Lautan Hindi, di mana ia menarik lebih banyak kuasa dari perairan panas sebelum kembali laluan yang jarang berlaku untuk membadai tanah besar buat kali kedua.

Hujan reda sejak Rabu tetapi Freddy masih berada di laluannya untuk menjadi salah satu ribut tropika paling lama di dunia.

Di Mozambique, ribut itu menyebabkan sekurang-kurangnya 63 kematian dan 49,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut angka rasmi pada Rabu.

Presiden Filipe Nyusi juga merayu bantuan untuk membina semula infrastruktur yang musnah.

Pakar meteorologi mengatakan siklon itu luar biasa dalam tempohnya dan mempunyai ciri-ciri yang konsisten dengan amaran perubahan iklim. – AFP, 17 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen