Malawi negara terbaharu dalam senarai larangan ke Malaysia 


Elill Easwaran

Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin berkata pihaknya turut menilai situasi semasa di negara lain yang mengesan varian berkenaan termasuk United Kingdom, Belanda dan Australia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.

MALAWI adalah negara terbaharu yang tersenarai dalam negara yang dilarang memasuki Malaysia susulan kemunculan varian baharu Covid-19 Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin.

Tujuh negara yang berada dalam senarai itu ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Penambahan Malawi adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga untuk menghalang varian, juga dikenali sebagai B.1.1.529, daripada merebak di negara ini.

Situasi yang melibatkan negara lain yang mana Omicron telah muncul juga sedang dinilai, kata Khairy.

Ini termasuk United Kingdom, Belanda dan Australia.

Tambahnya Kementerian Kesihatan juga akan mengenakan sekatan kemasukan ke atas pekerja asing dan pelajar antarabangsa dari negara tersebut.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat semalam kerana kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah pencegahan sementara terhadap Omicron.

Katanya, langkah lain yang diambil termasuk mendapatkan senarai harian negara yang melaporkan kes membabitkan varian baharu dan negara berisiko tinggi penularan Omicron.

“Negara berisiko tinggi termasuk negara yang mempunyai kadar vaksinasi rendah dan penularan komuniti yang tinggi.

“Kami akan melakukan penilaian risiko harian untuk mengemas kini negara. Senarai itu akan diedarkan kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Imigresen dan Kementerian Luar Negeri,” katanya. – 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen