Berduit, berpendidikan tinggi, syarat utama jadi calon Bersatu


Amin Iskandar

Pengumuman dibuat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengenai calon pilihan raya umum memberi kejutan dan menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pemimpin parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018.

BERDUIT dan berpendidikan tinggi merupakan syarat utama untuk jadi calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara ini diumumkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan di Perak pada 4 Mac lalu.

“Muhyiddin kata, untuk menjadi calon Parlimen, seseorang itu perlu menyediakan wang sebanyak RM100,000.

“Untuk calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, perlu menyediakan RM50,000,” kata seorang ahli Majlis Tertinggi Bersatu kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.

Seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Bersatu memberitahu The Malaysian Insight, calon bagi kerusi Parlimen dan Bersatu perlu mempunyai pendidikan tinggi sebelum diterima menjadi calon.

“Sekurang-kurangnya kena ada ijazah, setakat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja tak cukup.

“Ramai ahli MT terkejut dan Dr Mahathir Mohamad pun terkejut bila perkara ini diumumkan,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan itu.

Menurut ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu, pengumuman Muhyiddin mengenai syarat menjadi calon PRU14 itu menimbulkan ketidak senangan hati dalam kalangan pemimpin parti itu.

“Realitinya, pemimpin di bawah ini, walaupun tidak berpendidikan tinggi, cekap dalam menyusun jentera dan menjaga ahli parti.

“Syarat ini akan menyebabkan orang di bawah marah,” katanya.

Ketua Penerangan Bersatu Kamaruddin Mohd Nor ketika dihubungi tidak mahu mengesahkan atau menafikan mengenai syarat diletakkan terhadap calon parti itu untuk PRU14.

“Tujuan kita, seseorang calon itu mestilah mempunyai kemampuan. Bukan sahaja kemampuan dari segi kewangan, tetapi dari segi fikrah dan komitmen kepada rakyat.

“Itu yang mustahak. Kalau ada kemampuan untuk bantu diri sendiri, itu lebih bagus,” katanya kepada The Malaysian Inisght.

Baru-baru ini Bersatu menerima kemasukan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ideas Wan Saiful Wan Jan dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik.

Wan Saiful berkata beliau menyertai Bersatu untuk menyokong agenda perubahan.

Maszlee pada Isnin berkata beliau tertarik dengan potensi Bersatu dalam mencorakkan masa depan negara ini untuk membina Malaysia baharu.

Menurut ahli akademik itu, ia merupakan antara sebab beliau memilih untuk menyertai parti tersebut, dan bukannya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“57% daripada ahli Bersatu merupakan mereka yang berumur di bawah 35 tahun. Mereka inilah yang akan menjadi ejen perubahan. 

“Hakikatnya Bersatu adalah parti orang muda dan parti masa depan yang akan menentukan hala tuju Malaysia yang baru,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat parti pada Isnin. – 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • angan2 bukan main tinggi geng BERSATU nie..sedangkan parti sendiri pun bermasalah..itu pun kalau boleh bertanding atas tiket BERSATU lah!!

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan