Masuk Bersatu untuk kukuhkan agenda perubahan, kata Wan Saiful


Noor Azam Shairi Bede Hong

Bekas CEO Ideas, Wan Saiful Wan Jan dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight menegaskan yang beliau mahu menyumbang secara aktif kepada agenda perubahan negara dan tidak lagi hanya bertindak sebagai pemikir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Mac, 2018.

KEPUTUSANNYA jadi ahli politik dan masuk Bersatu melampaui soal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kata Wan Saiful Wan Jan, sebaliknya kerana mahu ikut menyumbang mengukuhkan asas parti itu, dalam usaha jangka masa panjang melakukan perubahan untuk Malaysia.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight semalam, bekas CEO kumpulan pemikir Ideas itu berkata politik Malaysia harus bergerak ke hadapan meninggalkan gaya politik yang terlalu terikat kepada individu.

Politik Malaysia seharusnya ditentukan dengan perdebatan mengenai soal-soal dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat, dan bukannya mengenai pemimpin parti, kata beliau

“Kita perlu meninggalkan budaya politik sekarang yang terlalu parokial. Apabila sebut PPBM (Bersatu), yang orang ingat parti Tun Mahathir. Apabila sebut Umno, parti yang dikuasai Najib. Apabila sebut PAS, parti Ustaz Hadi sekarang.

“Ini pemikiran yang sangat feudal sedangkan individu ini adalah orang yang mendepani sebuah perjuangan. Makanya, perjuangan itu yang perlu ditakrifkan dengan baik,” katanya dalam satu wawancara di Kuala Lumpur.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan secara rasmi penyertaan Wan Saiful sebagai ahli Bersatu seumur hidup dalam satu majlis di pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Wan Saiful, 43, minggu lalu meletakkan jawatan daripada Ideas, badan pemikir yang beliau asaskan bersama dua rakan yang lain di London lebih sembilan tahun lalu, untuk menyertai politik.

Ideas yang berpindah ke Malaysia pada 2010 ialah sebuah badan pemikir yang mendukung empat teras berasaskan falsafah liberalisme klasik iaitu kedaulatan undang-undang, kerajaan yang terhad, pasaran bebas dan individu merdeka, seperti yang dipegang oleh bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman.

Menurut Wan Saiful, beliau memilih untuk terlibat aktif dalam politik yang memihak dan tidak lagi bersikap bekerja dengan semua parti politik kerana merasakan ada keperluan untuk memastikan perubahan berlaku di Malaysia.

Katanya, perubahan itu pula adalah untuk mengembalikan maruah bangsa yang kini “terus dihina” apabila dimomokkan kononnya akan ranap dan musnah kalau tidak ada bantuan daripada kerajaan.

“Bagi saya ini satu penghinaan. Kita datang daripada bangsa dan agama yang sepatutnya ada keyakinan diri tetapi keyakinan diri itu dihakis oleh para pemimpin Umno selama ini,” katanya.

Berikut adalah petikan wawancara tersebut:

TMI: Apa yang mencetuskan lompatan besar ini?

WAN SAIFUL: Sebenarnya masuk ke dunia politik ini bukanlah perkara yang besar sangat. Lompatan yang lebih besar sebenarnya ialah apabila saya balik ke Malaysia untuk menubuhkan IDEAS sebab semasa di UK pun saya aktif dalam politik. Sekarang ini lebih kepada balik semula kepada dunia politik.

Cuma apa yang dianggap besar ialah masanya, sekarang. Masanya memang perlu dibuat sekarang sebab kalau saya tidak menyertai politik dan parti sekarang, saya akan kehilangan peluang untuk memberikan sumbangan yang saya rasa boleh, sekurang-kurangnya cuba untuk memastikan usaha Pakatan Harapan ini berjaya.

Saya rasa sudah cukuplah kerosakan yang dilakukan atas agenda politik yang dijalankan oleh kerajaan selama ini. Kita perlu gambaran baru tentang masa depan. Perdebatan yang berlaku dalam dunia politik sekarang terlalu bertumpu kepada apa yang sudah berlaku. Apabila bercakap mengenai apa yang ditawarkan oleh Pakatan contohnya, tak habis-habis kita pergi kepada “kembali ke zaman 80-an”, “kembali ke zaman 90-an”. Padahal bukan itu tawarannya.

Realitinya PH menawarkan sesuatu yang boleh menambah baik pentadbiran di Malaysia. Saya harap dengan terjunnya saya dalam bidang saya rasa saya boleh menyumbang sedikit. Saya rasa sedikit sangat sumbangan saya berbanding mereka yang sudah lama menyertai parti-parti dalam Pakatan.

Wan Saiful Wan Jan juga mengatakan Pakatan Harapan menawarkan sesuatu yang boleh menambah baik keadaan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Mac, 2018.

TMI: Apa bidang yang akan saudara beri tumpuan?

Wan Saiful: Harapan saya ialah agenda yang selama ini saya bawa (bersama Ideas) akan dapat dibawa ke peringkat politik nasional. Yang pertama dalam senarai saya ialah mengenai sistem tadbir urus negara, yang mana kita lihat terlalu banyak pemusatan kuasa berlaku di tangan perdana menteri. Ini sangat tidak baik bagi mana-mana negara demokrasi.

Bagi saya amat penting untuk kita pastikan jawatan menteri kewangan tidak juga dipegang oleh perdana menteri supaya wujud sistem semak dan imbang termasuklah pada struktur dalaman kabinet itu sendiri. Saya juga tidak nampak kenapa jabatan perdana menteri mesti jadi terlalu besar. Selain itu, perlu juga ada pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

Agenda itu sudah ada (pada Pakatan) dan ia juga adalah isu yang ada dalam senarai keutamaan saya.

TMI: Bagaimana hendak menyelaraskan jadi seorang libertarian yang masuk sebuah parti berasaskan kaum yang masih bercakap tentang tindakan afirmatif?

Wan Saiful: Ada beza antara masyarakat sivil dan parti politik. Dalam masyarakat sivil kita boleh jadi seorang yang memegang idealisme. Sebaik saja kita menceburi bidang politik, maka kita kena berhadapan dengan realiti yang ada pada hari ini, bukan bercakap tentang idealisme 30 tahun akan datang.

Realiti hari ialah masih ada masyarakat yang memerlukan bantuan dan  sokongan daripada pemerintah. Jadi, saya rasa mungkin salah kalau kita menceburi bidang politik dan hendak membawa idealisme masyarakat sivil… masuk (politik) hari ini, esok nak bawa ke agenda politik.

Politik selalunya adalah tentang bertolak ansur. Kena ada perbincangan, kena ada perdebatan, kena ada rundingan dan akhirnya di peringkat parti akan tercapai satu keputusan. Saya rasa itu realiti. Kita kerja di mana-mana pun akan sentiasa ada keputusan yang di luar kawalan kita.

Bagi saya idealisme terus kekal. Idealisme saya ialah mahu menyaksikan wujud sebuah masyarakat yang boleh berkata kepada ahli-ahli politik yang datang “hendak beri RM500 pada aku, ingat itukah harga diri aku”. Kita belum sampai ke tahap itu tetapi suatu hari nanti kita boleh wujudkan sebuah masyarakat yang boleh kata bahawa “harga diri saya lebih mahal daripada ini”.

Di United Kingdom, apabila pemimpin parti politiknya membaca statistik mengenai bilangan penerima bantuan kerajaan, biasanya bacaan itu dibuat dengan rasa malu sebab itu melambangkan kegagalan kerajaan meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat. Tidak ada apa-apa yang dibanggakan sekiranya 7 juta rakyat menerima bantuan. Apa yang boleh dibanggakan ialah apabila 7 juta rakyat menjadi jutawan, 7 juta rakyat menjadi usahawan. Ini peranan kerajaan.

Tetapi di Malaysia penerimaan pemberian kerajaan ini diwar-warkan sebagai satu perkara yang sangat positif.

TMI: Saudara sebelum ini kritikal kepada hampir semua parti. Apa yang saudara katakan sebelum ini mungkin akan datang menghantui saudara apabila dekat dengan PRU14. Bagaimana hendak berdepan kemungkinan ini?

Wan Saiful: Saya bukan saja kritikal kepada semua orang, saya juga puji semua orang apabila mereka buat benda yang betul. Kalau dia buat yang baik, kita puji. Kalau buat yang tidak baik, kita kritik.

Semua ini sudah pasti akan timbul. Harapan saya ialah orang fokus kepada apa yang saya sebut mengenai Umno dan BN sebelum ini. Itu yang patut diulang berkali-kali.

TMI: Bagaimana saudara akan membiayai kerja-kerja politik ini?

Wan Saiful: Tarikh saya diumumkan sebagai ahli PPBM (Bersatu) ini juga adalah tarikh rasmi saya menjadi seorang graduan menganggur. Saya ada sedikit simpanan tetapi sebulan dua ini akan habis.

Saya harap boleh jumpa balik kawan-kawan lama yang boleh beri sedikit sebanyak bantuan membiayai usaha-usaha yang hendak dijalankan. Ini cara yang sama saya buat sembilan tahun lepas iaitu minta sedekah daripada kawan-kawan.

Dalam masa dua tiga bulan ini saya berjumpa dengan beberapa parti, dalam Pakatan dan BN. Dalam pertemuan itu timbul pertanyaan “kenapa tidak masuk parti saya”. Saya tidak pernah ambil serius dan kebanyakannya saya dengar dan biarkan begitu saja. 

Sehinggalah tiba ke satu perbincangan dengan PPBM, yang mana dalam beberapa pertemuan dengan PPBM timbul persoalan “sertai kami untuk bertanding”. Mula-mula saya tidak ambil serius sangat tetapi di peringkat parti pula ditimbulkan “bertanding dan ini kemungkinan kawasan-kawasannya”. 

Jadi apabila disebut mengenai sehingga ke peringkat kawasan mana, ini menunjukkan parti serius untuk cuba menarik bakat baru menyertai mereka termasuklah orang yang mungkin menimbulkan masalah kepada parti seperti saya. Saya menghargai dan jujurnya taken aback (tersentak) dengan kejujuran yang tunjukkan dan keseriusan perbincangan itu. – 1 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tindakan Wan Saiful bakal makan dirinya sendiri walaupun dia mungkin nampak peluang untuk jadi calon PPBM dalam PRU kelak. Pendaftaran parti pun belum lulus. macam mana boleh nak cakap hal perjuangan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan