Bersatu parti masa depan Malaysia, kata Maszlee Malik


Radzi Razak

Ahli baharu Bersatu, Maszlee Malik menerima kad keahlian daripada presiden parti Muhyiddin Yassin di Petaling Jaya, Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Mac, 2018.

AHLI baharu Bersatu, Maszlee Malik berkata beliau tertarik dengan potensi parti itu dalam mencorakkan masa depan negara ini untuk membina Malaysia baharu.

Menurut ahli akademik itu, ia merupakan antara sebab beliau memilih untuk menyertai parti tersebut, dan bukannya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“57% daripada ahli Bersatu merupakan mereka yang berumur di bawah 35 tahun. Mereka inilah yang akan menjadi ejen perubahan. 

“Hakikatnya Bersatu adalah parti orang muda dan parti masa depan yang akan menentukan hala tuju Malaysia yang baru,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Maszlee yang merupakan pensyarah dan bekas ketua kakitangan akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menyertai Bersatu secara rasmi pada minggu lalu.

Seminggu sebelum itu, seorang lagi pengkaji, Wan Saiful Wan Jan yang mengetuai badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyertai Bersatu dan kini dilantik sebagai timbalan pengerusi biro dasar dan strategi parti itu.

Maszlee pula berharap, beliau akan dapat memberi nilai tambah dalam pendidikan berterusan dan pembinaan polisi bagi parti yang baru berusia setahun itu.

“Sebuah parti politik yang bertindak dan merangka gerak kerja serta strateginya berlandaskan kajian dan penyelidikan pasti akan lebih mapan dan mempunyai daya saing yang utuh.

“Dalam pada itu, sistem pengambilan ahli dan pendidikan berterusan ahli juga tidak kurang pentingnya dalam membina kelangsungan parti. 

“Di ruang inilah saya melihat diri saya boleh memberi nilai tambah kepada Bersatu,” kata Maszlee.

Maszlee juga berkata, beliau akan mengikut arahan parti untuk menggunakan kebolehannya, termasuk sekiranya dicalonkan dalam pilihan raya umum depan.

“Saya akan menurut perintah (parti),” kata beliau tersenyum.

Sementara itu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mengalu-alukan penyertaan Maszlee dan pengkaji tersebut boleh berkhidmat dalam biro yang ditubuhkan dalam parti tersebut.

“Maszlee boleh menyertai biro dasar dan strategik atau biro agama dan dakwah terserah kepada beliau. Beliau juga boleh membantu dalam ceramah dan turun bertemu dengan akar umbi untuk membantu kita.

“Ada ruang spektrum luas (yang) Maszlee boleh terlibat dalam perjalanan parti,” kata beliau. – 12 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen