Wan Saiful sah sertai politik


Wan Saiful Wan Jan, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengesahkan akan menyertai politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018.

SAH. Wan Saiful Wan Jan, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) sedang bersiap sedia untuk memasuki arena politik.

Bagaimanapun, Wan Saiful yang juga ahli PAS tidak memberitahu adakah perjalanannya dalam politik akan bersama parti Islam itu atau parti lain.

Katanya, beliau akan mengumumkan secara rasmi parti mana yang akan disertainya pada Khamis.

“Dalam kolum saya dua minggu lalu (It’s high time for a shift to policy, 13 Februari), saya katakan hipokrasi berleluasa dalam politik kita. Setiap bahagian mendakwa ia memonopoli kebenaran, dan menuduh lawannya menjadi punca kepada semua kejahatan.

“Pada minggu sama kolum itu disiarkan, beberapa perbualan yang tidak dijangka berlaku dengan pemimpin daripada parti politik yang berbeza. Akhirnya ia membawa kepada keputusan saya untuk secara rasmi menukar keahlian saya dalam PAS pada masa ini ke parti lain,” kata Wan Saiful menerusi ruangannya di akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star.

Wan Saiful juga akan meninggalkan Ideas.

Dalam kenyataannya, Wan Saiful berkata niatnya untuk menyertai politik ialah bagi membantu keadaan dalam arena politik negara, sama ada perdebatan politik atau mengurangkan hipokrasi. 

“Selama bertahun-tahun saya bercakap tentang ahli politik perlu memperbaiki kualiti perdebatan politik kita. Tetapi kita kita menghampiri Pilihan raya Umum ke-14, tidak nampak perubahan peningkatan.

“Sekurang-kurangnya saya mencuba untuk mengurangkan hipokrasi,” katanya.

Wan Saiful berkata sebagai seseorang yang sering bertemu masyarakat dan daripada pengalaman lalunya selepas 18 tahun berada di United Kingdom, beliau sedar bahawa ada ramai orang yang mahu melakukan perkara yang betul untuk negara.

Katanya, ada juga individu yang jahat di beberapa bahagian dalam masyarakat tetapi kerana sistem politik kita, ramai orang takut bersuara.

Wan Saiful berkata beliau turut ditanya kenapa perlu meninggalkan badan pemikir itu ketika orang ramai sudah pun tahu beliau ahli PAS.

“Saya tidak ada jawapan untuk itu. Tetapi itulah keadaan kita hari ini. Dan ini juga kenapa saya fikir saya perlu untuk sekurang-kurangnya lakukan sesuatu untuk mengubahnya,” katanya dan turut mengucapkan terima kasih kepada Ideas dan The Star kerana menyokongnya.

Wan Saiful sebelum ini berkata beliau hanya tunggu masa saja untuk dipecat daripada PAS kerana meluahkan pandangan berbentuk progresif terhadap parti Islam itu. – 27 Februari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Laluan PAS berliku ,dan menjadi cabaran untuk mereka kerana PAN akan menjadi persaing mereka untuk merebut tempat di daerah yang di kuasai PAS sebelum ni...akhirnya berlaku perebutan 3 penjuru yang akan memberi keselesaan kepada BN.rakyat sudah tahu siapa kaca dan permata mereka yang pandai memfitnah wal hal mereka juga lebih teruk dari itu.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan