Ismail Sabri gesa kerajaan semak semula pelaksanaan cukai barang mewah


Pelaksanaan cukai barangan mewah berpotensi menjadikan Malaysia destinasi bukan pilihan oleh pelancong asing yang ingin berbelanja dan membeli-belah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

KERAJAAN digesa menyemak semula pelaksanaan Cukai Barangan Mewah seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2023, kata Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana, katanya, pelaksanaan cukai itu berpotensi menjadikan Malaysia destinasi bukan pilihan oleh pelancong asing yang ingin berbelanja dan membeli-belah.

Beliau berkata aktiviti membeli-belah pelancong asing menyumbang sebanyak 30% daripada RM86.1 bilion hasil pendapatan pelancongan negara pada 2019.

“Kita mahu jadikan Malaysia sebagai syurga pelancongan supaya dapat menyaingi negara jiran lain yang ketika ini menjadi tumpuan pelancong.

“Saya harap kerajaan berhati-hati dalam pelaksanaan cukai ini,” katanya dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, di Dewan Rakyat, hari ini.

Memetik contoh, Ismail Sabri berkata sektor peruncitan di United Kingdom (UK) terjejas teruk apabila kerajaan negara itu memperkenalkan cukai barangan mewah, dengan jumlah pelancong asing membeli belah di ibu kota negara Eropah selain dari London meningkat sebanyak 80%.

“Ini berikutan keputusan kerajaan UK pada 2020, tidak membenarkan lagi pelancong ke negara itu menuntut balik cukai nilai tambah (VAT) untuk membeli-belah,” ujarnya. – Bernama, 7 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen