Bicara kes saman Ismail Sabri terhadap Lokman Adam 29 Januari 2024 


Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mendakwa bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan tiga hari bermula 29 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes saman bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri ketika dihubungi berkata tarikh perbicaraan pada 29 hingga 31 Januari 2024 itu ditetapkan oleh Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada prosiding 29 November tahun lepas.

Mengenai pengurusan kes di hadapan hakim sama hari ini, Joshua berkata mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan kes saman itu termasuk senarai saksi pada 20 Mac ini.

“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 21 Mac,” katanya dan memaklumkan prosiding hari ini turut dihadiri peguam Mohd Faiz Abd Rahim mewakili Lokman.

Pada 8 September tahun lepas, Ismail Sabri, 63, yang juga Ahli Parlimen Bera selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi beliau dan menamakan Lokman, 50, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos tahun lepas telah membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam video bertajuk ‘Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir - Lokman Adam.’

Beliau berkata kenyataan itu yang berniat jahat, berunsur fitnah dan tidak benar telah dimuat naik di empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam,’ Facebook ‘Lokman Noor Adam Official,’ Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam.’

Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud beliau telah berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti politik lain yang bertentangan dengan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati Umno. – Bernama, 6 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen