Kaji semula tempoh masa jemaah haji di tanah suci, kata Ismail Sabri 


Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata jemaah haji boleh diberikan empat pilihan dengan tempoh menunaikan ibadah haji iaitu 14 hari, 21 hari, 30 hari dan 40 hari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2023.

BEKAS perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengkaji semula tempoh masa jemaah haji berada di tanah suci bagi menangani isu kos yang tinggi untuk menunaikan ibadah haji.

Beliau berkata jemaah haji boleh diberikan empat pilihan dengan tempoh menunaikan ibadah haji iaitu 14 hari, 21 hari, 30 hari dan 40 hari.

“Kos haji dijangka terus meningkat pada masa akan datang, yang membimbangkan kita mungkin satu hari nanti golongan B40 termasuk M40 mungkin sudah tidak mampu menunaikan haji.

“… rukun haji boleh dibuat dalam empat hari, kalau 14 hari masih ada masa lagi untuk ziarah Madinah, mengerjakan umrah dan sebagainya. Jika ia dapat disingkatkan saya percaya ramai yang mampu untuk mengerjakan haji kerana kos mengerjakan haji akan bertambah kurang daripada sekarang,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata langkah berkenaan juga memudahkan lebih ramai umat Islam di negara ini menunaikan ibadah tersebut kerana tempoh masa menunaikan haji bergantung kepada pilihan jemaah sendiri, mengikut kesesuaian pekerjaan mereka.

Ismail Sabri berkata TH telah menganggarkan peningkatan kos haji daripada RM25,540 pada 2022 kepada RM31,870 pada tahun ini.

Beliau berkata dengan mengandaikan pengekalan aturan bayaran haji 2022 untuk tahun ini iaitu RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40, tanggungan TH bakal meningkat masing-masing kepada RM20,890 dan RM18,720.

Selain itu, beliau memohon kerajaan supaya mengkaji dan menggubal semula Akta Tabung Haji 1995 untuk penambahbaikan termasuk berhubung ketiadaan peruntukan untuk patuh syariah dan tadbir urus baik yang diwartakan dalam akta sedia ada.

“Penambahbaikan perlu dari segi tadbir urus, pemantauan dan kawal selia bagi memastikan dana sebanyak RM88 bilion dapat diuruskan dengan lebih sempurna,” kata beliau.

Ismail Sabri turut memohon kerajaan agar mempertimbangkan permohonan golongan yang memerlukan bagi pengeluaran bersasar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut beliau kajian terperinci perlu dilaksanakan supaya mereka yang layak sahaja dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan KWSP dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga harus mempertimbangkan harga lantai getah beku dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram seterusnya mampu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung kira-kira 320,000 pekebun kecil getah di seluruh negara disebabkan kenaikan kos sara hidup. – Bernama, 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen