Ikut saluran parti suarakan pandangan, Khaled beritahu Ismail Sabri


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menafikan Umno jadi pak turut dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari 2023.

BEKAS perdana menteri Ismail Sabri Yaakon boleh suarakan apa sahaja pandangan tetapi mesti mengikut saluran parti dan bukan melalui media, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Beliau mengulas kenyataan Ismail Sabri baru-baru ini bahawaUmno kini menjadi ‘pak turut’ dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kalau kita mahu jawab semua dakwaan beliau memang kita boleh jawab, tetapi saya rasa media bukan tempatnya,” katanya seperti dilapor media. Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam di Johor Bahru hari ini.

Khaled yang juga menteri pengajian tinggi dipetik sebagai berkata semua keputusan kerajaan perpaduan dibuat secara konsensus dan selepas melalui proses perbincangan.

“Tidak timbul soal Umno hanya sekadar pelengkap kuota kerajaan hari ini. 

“Ismail Sabri boleh zahirkan pandangan dia, tetapi pokoknya sekarang ialah kerajaan campuran. Jadi sudah tentu apa sahaja yang dicapai bergantung kepada perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dalam satu wawancara bersama portal Majoriti baru-baru ini, Ismail Sabri dilapor berkata beliau sedia menerima sebarang risiko susulan keterbukaannya mengkritik tindakan Umno memecat dan menggantung ahli parti, yang dianggap bertentangan dengan proses undang-undang dan prinsip keadilan.

Seseorang perlu bercakap berkenaan tindakan yang dirasakan tidak sehaluan, katanya. – 11 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen