Terima kasih Ismail Sabri, kata Ahmad Maslan


Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri Yaakob atas jasanya sebagai Naib Presiden Umno.

Ini susulan keputusan Ismail Sabri tidak mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan Umno yang dijadualkan Mac ini.

“Saya kira beliau sudah membuat satu keputusan yang besar buat dirinya…mungkin beliau tidak mahu lagi bertanding sebab sudah sampai ke puncak dalam perjuangan politiknya dengan menjadi perdana menteri, tiada yang lagi atas daripada itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri kesembilan mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno yang disandangnya sejak 2018.

Ismail Sabri merupakan antara tiga penyandang jawatan itu selain bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan pada 11 Mac manakala bagi jawatankuasa Umno bahagian, naib presiden serta ahli majlis tertinggi dijadualkan 18 Mac depan.

Sementara itu Ahmad Maslan turut mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden Umno bagi memberi peluang lebih besar dan memastikan calon dari Johor memenangi jawatan tersebut.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana tidak mahu memecahkan undi perwakilan Umno dalam memilih naib presiden memandangkan sudah terdapat tiga calon dari negeri itu yang akan bertanding.

“Saya tidak bertanding naib presiden walaupun ada cadangan sebelum ini. Johor paling kurang seorang (calon) kena menang… Saya tidak perlu menambah (untuk bertanding jawatan naib presiden) dari Johor, nanti seorang pun tidak menang,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu bagaimanapun berkata akan mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi di mana beliau bakal berdepan bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad untuk merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian yang disandangnya. – Bernama, 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen