Dapur Jalanan kembali saji makanan kepada miskin bandar KL


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sukarelawan Dapur Jalanan mengagihkan makanan kepada golongan miskin bandar yang amat memerlukan bantuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2023.

KUMPULAN aktivis kemanusiaan Dapur Jalanan kini kembali menyajikan makanan secara jamuan berselerak kepada golongan miskin bandar di Kuala Lumpur selepas hampir tiga tahun tergendala kerana pandemik Covid-19.

Penyelarasnya Quratulain Atiqah berkata sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac 2020, Dapur Jalanan tidak menghidangkan makanan tetapi mengagihkannya dalam bungkusan, sesuai dengan peraturan yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

“Sebelum pandemik kami bawa makanan ke Jalan Panggong, kami hidang dan komuniti akan makan bersama-sama.

“Ketika PKP, tidak dapat menghidangkan makanan kerana kawalan, jadi kami terpaksa ubah sistem dengan sediakan bungkusan makanan dan serahkan kepada mereka.

“Namun sejak Ahad lalu, kami sudah kembali ke cara yang asal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dapur Jalanan, yang mula beroperasi sejak Mac 2013, tahun ini genap 10 tahun menyajikan makanan serta menawarkan pelbagai khidmat kebajikan dan kemanusiaan kepada golongan miskin bandar di Kuala Lumpur, terutamanya kesihatan.

Pada masa kini mereka menyantuni antara 80 hingga 120 orang setiap hujung minggu, kata Atiqah.

Seorang sukarelawan menyediakan makanan di ibu pejabat Dapur Jalanan sebelum diagihkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2023.

Namun ketika pandemik, jumlah itu meningkat luar biasa sehingga mencecah hampir 400 bungkusan.

“Kami juga menyediakan lebih banyak makanan ketika mengadakan klinik dwibulanan dan ketika program vaksinasi.

“Pada waktu biasa, makanan disediakan untuk 120 hingga 150 orang seminggu, iaitu sebelum pandemik,” katanya.

Menurut Atiqah, Dapur Jalanan tidak hanya memberi makan tetapi mendekati golongan miskin bandar dan cuba membantu mereka hidup di tengah kota yang mencabar.

“Peluang untuk mendekati mereka sudah terbuka kembali,” katanya.

Semasa pandemik Covid-19 misalnya, Dapur Jalanan membantu golongan miskin bandar untuk mendapatkan bantuan yang ditawar dan disediakan kerajaan kepada rakyat.

Pada masa itu mereka membuka Kaunter Rakyat Dapur Jalanan yang mengumpulkan data golongan itu serta membantu menyebarkan maklumat mengenai bantuan semasa pandemik.

“Ada banyak bantuan yang disediakan kerajaan dan agensi, namun ada maklumat yang tidak sampai kepada komuniti ini, jadi melalui kaunter itu kami kongsi maklumat selain bantu proses pendaftaran,” katanya.

Dapur Jalanan juga membantu mereka mendapatkan vaksinasi selain pemeriksaan kesihatan dua bulan sekali dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Sukarelawan

Kumpulan aktivis ini beroperasi secara sukarela dan bergantung kepada sumbangan orang ramai, jelas Atiqah.

Dapur Jalanan memerlukan sekurang-kurangnya 20 petugas sukarelawan bagi membantu menjayakan khidmat masyarakat setiap minggu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2023.

“Dana terbesar kami adalah daripada orang awam yang banyak menyumbang melalui akaun bank rasmi Dapur Jalanan.

“Ada juga yang menyumbang dalam bentuk makanan,” katanya.

Sukarelawan Dapur Jalanan kebanyakannya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan syarikat yang menjalankan kegiatan amal sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Hampir setiap minggu kami menerima bantuan dan sumbangan tenaga dari syarikat dan institusi pendidikan.

“Untuk kami bergerak setiap minggu dari proses memasak, menghidang dan mengemas lokasi, kami memerlukan dalam 20 orang,” kata Atiqah.

Mengenai ulang tahun Dapur Jalanan yang ke-10 tahun ini, Atiqah berkata ia bukan untuk dibanggakan kerana ia sebenarnya tanda isu miskin bandar belum lagi selesai.

“Selagi isu ini masih ada, maka Dapur Jalanan juga akan ada. Kita bukan sekadar berkongsi makanan tetapi mengetengahkan isu mereka.

“Kami harap isu ini dapat kita perbaiki pada masa depan supaya makanan bukan isu utama bagi warga bandar,” katanya. – 19 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen