Ibu bapa miskin bandar lebih suka sekolah buka, kata tinjauan


Noel Achariam

Tinjauan Unicef dan UNFPA mendapati majoriti ibu bapa dari keluarga miskin bandar mahu anak mereka kembali ke sekolah ekoran tidak mempunyai peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2021.

MAJORITI ibu bapa dari keluarga miskin bandar mahu anak mereka kembali ke sekolah ekoran tidak mempunyai peranti yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, menurut tinjauan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tinjauan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) dan Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) mendapati lebih separuh ibu bapa berkata anak mereka sukar menumpukan perhatian pada pelajaran walaupun program DidikTV yang dilancarkan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu.

Laporan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran berdasarkan tinjauan itu mendedahkan 49% responden berkata anak mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada kelas dalam talian, 43% tidak mempunyai ruang untuk belajar, manakala 23% lagi tidak mempunyai peranti yang bersesuaian.

Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi di DM Analytics Malaysia Dr Muhammed Abdul Khalid, yang juga ketua penyelidik laporan, berkata kanak-kanak paling berisiko tercicir pelajaran apabila sekolah lama ditutup.

“Sembilan daripada 10 responden berkata anak mereka menggunakan telefon pintar (untuk belajar). Tetapi hanya ada satu telefon pintar untuk tiga kanak-kanak.

“Bagaimana jika ibu bapa keluar bekerja? Sudah tentu mereka tiada peranti. Kanak-kanak akan menghadapi kesukaran dan lama-kelamaan hilang minat untuk belajar,” katanya pada pelancaran laporan tinjauan tersebut.

Tinjauan dijalankan pada hujung Februari hingga awal Mac lalu, melibatkan 500 keluarga miskin bandar dari 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga di seluruh negara mulai esok hingga 7 Jun untuk membendung penularan pandemik Covid-19. Semua sekolah ditutup sepanjang PKP kecuali bagi pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa.

Tadika dan pusat jagaan kanak-kanak dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard yang ketat. – 11 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen