Pusat zakat, Baitulmal perlu aktif kesan golongan miskin bandar, kata timbalan menteri


Bayaran zakat mampu membantu mengurangkan golongan miskin bandar di negara ini, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

PUSAT pungutan zakat dan Baitulmal perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membantu mengesan individu yang memerlukan, sekali gus mengurangkan golongan miskin bandar di negara ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias, berkata ini kerana institusi kewangan di bawah jabatan dan majlis agama Islam itu, mempunyai pendapatan yang sangat besar menerusi kutipan zakat setiap tahun.

“Pendapatan (zakat) yang diterima bagi satu lokaliti masyarakat Melayu dalam kawasan bandar melebihi daripada jumlah yang digunakan untuk tujuan kebajikan penduduk miskin.

“Sebagai contoh, Masjid Wilayah (Kuala Lumpur) kutipan (sumbangan) sekitar RM80,000 seminggu dan kalau itu perkiraan yang digunakan bermakna sekitar RM300,000 sebulan dan setahun pendapatan wakaf atau sedekah yang diterima masjid tidak lari daripada RM3 juta hingga RM4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat operasi Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Grand Paragon di Johor Bahru, semalam.

Menurut Jalaluddin, usaha secara konklusif daripada semua pihak perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengeluarkan masyarakat daripada kepompong kemiskinan bandar.

Dalam pada itu, mengenai isu warga asing yang berniaga di tapak perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalaluddin berkata, pihaknya sedang menjalankan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan keadaan itu tidak terus berlaku.

Katanya, penguat kuasa kini melakukan intipan serta siasatan secara kerap dan sekiranya pemegang lesen itu didapati melakukan kesalahan termasuk memberi kepada pihak lain, lesen mereka akan ditamatkan serta-merta tanpa kompromi, rundingan mahupun budi bicara.

Menurut Jalaluddin, daripada 100 lesen peniaga Melayu yang dikeluarkan, sebahagiannya disalah guna oleh penerima lesen dengan menjualnya kepada pihak ketiga termasuk warga asing.

“Bila buat penguatkuasaan, kami tanya pekerja asing dan mereka dakwa mereka bekerja dengan tuan punya lesen, hakikatnya warga asing ini membayar sejumlah wang kepada pemegang lesen.

“Saya terpaksa ambil pendekatan sedemikian rupa kerana tidak mahu melihat peluang ekonomi yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia di kawasan bandar raya dinikmati warga asing dan pendatang,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada peniaga yang mendapat peluang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan di kawasan sekitar Kuala Lumpur tahun ini, agar memastikan hanya pemilik lesen yang menjalankan perniagaan atau tindakan penamatan lesen dikenakan serta-merta. – Bernama, 6 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen