Lebih ramai miskin bandar terjejas akibat PKP 3.0, kata laporan


Noel Achariam

Laporan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran berdasarkan tinjauan ke atas 500 keluarga miskin bandar dari 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur mendapati lebih separuh isi rumah masih bergelut untuk pulih kepada sedia kala. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2021.

KELUARGA miskin bandar akan lebih terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga, berbanding ia kali pertama dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, menurut laporan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Laporan berdasarkan tinjauan Tabung Populasi PBB (UNFPA) dan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) ke atas 500 keluarga miskin bandar dari 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur itu mendapati lebih separuh isi rumah masih bergelut untuk pulih kepada sedia kala, meski kerajaan menawarkan bantuan menerusi pakej rangsangan seperti Prihatin.

Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran diterbitkan untuk menyokong bukti, dasar serta wacana mengenai pandemik Covid-19.

Menurut tinjauan yang dijalankan pada hujung Februari hingga pertengahan Mac lalu, satu daripada tiga ketua isi rumah dan empat daripada 10 ketua keluarga wanita terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan untuk terus bertahan semasa PKP 3.0.

Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi di DM Analytics Malaysia Dr Muhammed Abdul Khalid, yang juga ketua penyelidik laporan, berkata empat daripada 10 keluarga miskin bandar terpaksa bergantung kepada simpanan untuk menampung pendapatan.

“Lebih kurang enam daripada 10 responden tidak mampu membeli makanan untuk keluarga, manakala satu daripada dua keluarga tidak mampu membayar sama ada sewa rumah atau bil utiliti.

“Satu daripada empat responden terpaksa mengurangakan pengambilan makanan, manakala satu daripada tiga berkata mereka sukar untuk menyediakan wang yang cukup kepada anak-anak untuk membeli makanan di sekolah,” kata Muhammed semasa pelancaran laporan tersebut.

Putrajaya semalam umum pelaksanaan PKP kali ketiga di seluruh negara mulai esok hingga 7 Jun untuk membendung penularan pandemik Covid-19. – 11 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen