Kechara jelajah Semenanjung hulur bantuan


Raevathi Supramaniam

NGO Kechara Soup Kitchenkini sedang menjalankan misi bantuan 15 hari kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh Semenanjung. – Gambar ihsan Justin Cheah , 29 September, 2021.

KECHARA Soup Kitchen, badan bukan kerajaan yang menyediakan makanan dan penjagaan kesihatan kepada gelandangan dan miskin bandar, kini sedang menjalankan misi bantuan 15 hari kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh Semenanjung.

Menggunakan lori tugas berat yang disumbangkan pengeluar kereta Sweden Volvo, Kechara Soup Kitchen yang menjalankan aktiviti dapur jalanan di Medan Tuanku di Kuala Lumpur berjaya merealisasikan hasrat mereka untuk mengedar makanan percuma.

KSK melancarkan misi bantuan makanan mereka pada 21 September lalu, yang dimulakan di Kuala Lumpur dan Selangor, serta merancang untuk meluaskan bantuan ke Pantai Timur sebelum bergerak ke negeri-negeri di sebelah selatan dan utara Semenanjung.

Pengarah Operasi Kechara Justin Cheah berkata misi mengedarkan makanan percuma bukanlah perkara baharu kerana sejak 2017 lagi mereka mengumpul lebihan makanan dari pasar raya besar dan hotel untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Bezanya kali ini, Kechara berupaya mengagihkan bantuan sehingga ke kawasan luar bandar, kata Cheah.

“Volvo memilih kami sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka, dan atas kesempatan itu kami bertanya jika mereka boleh menyumbang sebuah trak.

“Kami sebenarnya minta mereka sumbang trak kecil sahaja asalkan mudah untuk menjelajah ke kawasan yang disasarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Setiap keluarga menerima bantuan bernilai RM100 merangkumi antaranya 10kg beras, 5kg minyak masak, 2kg gula, 1kg tepung, dua tin sardin dan pencuci pinggan.– Gambar ihsan Justin Cheah , 29 September, 2021.

Lori sembilan tan sumbangan Volvo itu dibawa khas dari Sweden untuk Kechara, dan mampu membawa enam tan makanan.

Dengan trak tersebut, Kechara akan mengedar barangan asas ke bandar-bandar kecil di 11 negeri, kata Cheah.

“Jelajah kami bermula di Kuala Lumpur dan Selangor pada 21 September. Kami hulur bantuan makanan ke PPR Air Panas, Flat Sri Johor, PPR Kota Damansara, Apartment Teratai di Bukit Beruntung, Sg Besar dan Taman Damai di Kapar.”

Tambahnya, setiap keluarga menerima bantuan bernilai RM100 merangkumi antaranya 10kg beras, 5kg minyak masak, 2kg gula, 1kg tepung, dua tin sardin dan pencuci pinggan.

Menurut Cheah, sebanyak 706 keluarga berpendapatan rendah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima bantuan makanan Kechara. NGO itu mensasarkan 2,312 bakul makanan untuk diagihkan kepada 5,000 keluarga.

Misi bantuan makanan Kechara Soup Kitchen bermula di Kuala Lumpur dan Selangor pada 21 September lalu. – Gambar ihsan Justin Cheah , 29 September, 2021.

Kechara seterusnya akan mengagih bantuan kepada 528 keluarga di Kelantan, Terengganu dan Pahang; 629 di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor; serta 549 lagi di Taiping dan Ipoh di Perak dan George Town di Pulau Pinang.

“Semua bantuan makanan ini disumbangkan oleh Perlis Plantation Berhad, bernilai lebih RM200,000,” ujar Cheah.

Beliau dalam pada itu berkata Kechara berhasrat untuk meluaskan misi bantuan ke Sabah dan Sarawak namun masih belum berkeupayaan berbuat demikian.

Selain itu, Kechara juga dalam perancangan untuk mencari tempat untuk menyimpan bekalan makanan, katanya.

“Kami sedang mencari gudang dan kami mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang ingin membantu. 

“Dengan itu kami bukan sahaja dapat tempatkan lori kami, malah dapat menyimpan lebih banyak bekalan makanan,” kata Cheah. – 29 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen