Waymaker, bendera putih penuhi keperluan khusus


Hailey Chung Wee Kye

Bukan semua orang bersedia meletakkan bendera putih untuk meminta bantuan atas pelbagai faktor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

SATU lagi platform padanan dengan golongan memerlukan, Waymaker, yang bermula sebelum kempen bendera putih dilancarkan, menyaksikan ramai orang yang tinggal di kawasan kejiranan mewah turut meminta bantuan, kata pengasasnya Arun Kumar Ramasamy.

Ramai orang yang memerlukan bantuan tetapi tidak meletakkan bendera putih di luar rumah atau media sosial mereka, disebabkan faktor reputasi dan privasi, kata pekerja sosial lulusan bidang kejuruteraan itu kepada The Malaysian Insight.

Wujud juga permohonan bantuan unik semasa pandemik yang tidak melibatkan makanan dan barangan keperluan, seperti bantuan pendidikan dan keagamaan, tambahnya.

“Kami membina Waymaker untuk orang bukan komuniti B40 yang mungkin rasa susah nak naikkan bendera, atau nak minta bantuan menerusi media sosial,” kata Arun yang berusia 33 tahun itu.

Gerakan bendera putih bermula di media sosial pada awal Julai lalu apabila semakin ramai orang meminta bantuan kewangan dan makanan disebabkan kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan.

Ketika ia mula digerakkan, negara sudah diletakkan dalam sekatan pergerakan penuh selama sebulan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga.

PKP 3.0 masih tiada tarikh akhir bagi sesetengah negeri, termasuklah Selangor dan Kuala Lumpur, walaupun sekatan sudah dilonggarkan di negeri yang beralih memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Platform Waymaker menyediakan ruang meminta bantuan yang tidak terhad hanya kepada makanan dan barangan asas. – 1 Ogos, 2021.

Arun berkata ada kes melibatkan pemberi bantuan menggunakan Waymaker menyerahkan barangan dapur kepada penerima yang tinggal di kawasan kejiranan mewah dan mendapati penerima itu hampir muflis.

Seorang lagi kes meminta bantuan ialah pemuda berusia awal 20-an yang kehilangan kedua ibu bapanya kerana Covid-19 dalam selang masa 16 hari.

“Dia tidak tahu apa-apa tentang urusan pengebumian dan perbelanjaan, jadi dia minta tolong. Apabila kami membantunya, saya juga hebahkan permintaan itu bagi pihaknya di Waymaker.

“Lima orang tampil ingin membantu keperluan unik dan khas ini. Keluarga itu tidak miskin, tetapi dia berseorangan dan tak tahu hendak buat apa.

“Orang tidak akan angkat bendera putih jika hendak minta bantuan berkaitan pengebumian,” kata Arun.

Bagaimana Waymaker berbeza

Arun dan pengasas bersama, Richard Easupatham, telah membangunkan platform rakan-ke-rakan itu sejak Mac tahun lepas.

Ia mula dibuka pada Oktober 2020 dan secara rasminya dilancar pada 14 Februari tahun ini.

“Platform Waymaker menyediakan ruang tanpa nama kerana bila anda buat permohonan bantuan, anda boleh pilih siapa yang dimaklumkan. Misalnya, permohonan dari lelaki boleh dihebahkan kepada lelaki lain sahaja.

“Jadi anda ada sedikit kawalan kepada siapa yang melihat keperluan anda. Dan bila ada orang beri maklum balas, anda akan dapat mesej,” kata Arun.

Bagi peminta bantuan, Waymaker menyediakan lebih banyak jenis bantuan dan tidak terhad kepada “Makanan & Barangan Runcit” sahaja.  

Orang ramai boleh meminta bantuan dalam isu “IT & Teknologi”, “Haiwan Peliharaan”, “Keperluan Beragama” atau memilih “Lain-Lain” jika keperluan mereka tidak menetapi kategori yang disediakan.

Pemohon juga boleh memilih jenis orang yang mereka selesa menerima bantuan mengikut gender, bahasa pertuturan, kaum dan umur.

Walaupun bantuan makanan dan keperluan asas diperlukan, ada golongan yang memerlukan bantuan khusus seperti pendidikan dan keperluan beragama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

Arun berkata idea platform itu adalah untuk merapatkan jurang yang timbul apabila bantuan “disama ratakan”, seperti bantuan makanan yang selalu dibuat organisasi lebih besar.

“Misalnya, bila organisasi mengatur bantuan kebajikan kepada golongan miskin, mereka menerima sekampit beras dan setin sardin. Kita mengandaikan itu yang orang perlukan.

“Dan penerima tiada pilihan, tetapi dengan Waymaker, mereka ada sedikit kawalan tentang apa yang diperlukan mereka,” katanya.

Arun menggelarkannya sebagai “keperluan berkonteks” yang unik kepada permohonan penerima.

“Organisasi (lebih besar) boleh (memberikan bantuan umum) pada peringkat makro, tetapi pada peringkat mikro, kita boleh membantu sesama sendiri (untuk keperluan lebih khusus),” katanya.

Tambah Arun lagi, Waymaker adalah kaedah lebih terancang dan tersusun berbanding penggunaan media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Bagi pemberi bantuan pula, mereka boleh menggunakan Waymaker untuk menghebahkan permintaan orang lain. Ini dapat membantu isu “kepenatan penderma” terutama jika penderma sama sudah melakukannya berulang kali.

“Kami membina Waymaker supaya anda tidak dihadkan kepada ruang lingkung pergaulan sendiri sahaja.

“Anda boleh bantu mereka yang di luar lingkungan pergaulan, anda boleh hantar permintaan untuk orang di kawasan sendiri dan orang dari Perlis boleh tolong,” kata Arun.

Setakat ini, Waymaker mempunyai 900 pengguna seluruh negara dan merekodkan 379 permintaan, 316 daripadanya sudah ditutup kerana sudah dibantu.

“Ada 627 maklum balas mahu membantu kepada lebih 300 permintaan,” kata Arun.

Selain Arun dan Richard, tujuh sukarelawan lain turun bersama Waymaker untuk menyelia dan menambah baik platform itu. – 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen