Wajibkan imbuhan khas perayaan, usul persatuan pekerja kepada Putrajaya


Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia, J Solomon berkata sebagai permulaan beliau mencadangkan agar kerajaan mewajibkan imbuhan di semua syarikat milik kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2023.

PUTRAJAYA disaran memperkenalkan peraturan supaya majikan memberi imbuhan khas sebulan gaji kepada pekerja khusus semasa musim perayaan masing-masing, cadang sebuah pertubuhan penasihat pekerja.

Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), J Solomon mencadangkan peraturan dibuat untuk imbuhan khas kepada pekerja semasa Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

“Kerajaan boleh membuat peraturan sedemikian untuk satu perayaan besar bagi setiap agama di negara kita.

“Ini akan memastikan golongan yang memerlukan tidak membuat pinjaman hanya untuk meraikan majlis yang baik bersama keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai permulaan, beliau mencadangkan agar kerajaan mewajibkan imbuhan ini di semua syarikat milik kerajaan.

“SPCAAM yakin pelaksanaan kemudahan ini tidak akan menjejaskan kos operasi majikan, sebaliknya dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan syarikat,” katanya.

Solomon yang juga pemimpin kesatuan sekerja berkata semua pekerja berhak untuk menyambut perayaan keagamaan masing-masing dengan selesa dan tidak sepatutnya terbeban sehingga membuat pinjaman.

“Perayaan keagamaan adalah untuk semua orang dan bukan hanya golongan kaya. Pelaksanaan ini mesti dikuatkuasakan melalui perundangan tertentu,” tambahnya.

Jelas beliau, cadangan ini bukan sesuatu yang asing tetapi diamalkan juga di negara lain, misalnya Indonesia.

“Sebenarnya di Indonesia imbuhan ini mesti dibayar selewat-lewatnya tujuh hari sebelum hari perayaan agama,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menggesa majikan untuk mempertimbangkan keperluan imbuhan khas kepada pekerja mereka semasa perayaan besar masing-masing.

“Sudah tiba masanya untuk majikan mempertimbangkan keperluan ini, di mana imbuhan khas ini boleh diagihkan kepada setiap pekerja semasa perayaan besar,” katanya.– 17 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen