KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) memuji keputusan Putrajaya yang tidak membenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berikutan tekanan oleh ahli politik tertentu.
Setiausaha agungnya J.Solomon berkata menggunakan dana tabung persaraan pekerja semasa bencana adalah petanda kerajaan tidak cekap, sambil menambah bahawa KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan selepas pelbagai pengeluaran dibenarkan.
“NUBE mengalu-alukan ketegasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan KWSP dengan tidak membenarkan pengeluaran selanjutnya daripada dana persaraan pekerja,” kata Solomon.
“Menggunakan dana persaraan pekerja semasa setiap bencana bukanlah pendekatan yang bijak. Ia adalah pandangan yang diterima umum bahawa kerajaan, di peringkat persekutuan dan negeri, bertanggungjawab untuk memastikan ketersediaan keperluan asas yang mencukupi dan pengagihan tepat pada masanya, untuk mengurangkan kesusahan yang dihadapi mangsa banjir.”
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki terus melobi agar KWSP melanjutkan program i-Citra dan membenarkan pengeluaran tambahan sehingga RM10,000.
KWSP sebelum ini berkata Akta KWSP 1991 tidak memperuntukkan pengeluaran untuk bencana alam.
Tabung simpanan itu berkata ia dikawal oleh Akta KWSP 1991 yang menetapkan Akaun 1 (70% daripada simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30%) adalah untuk pengeluaran mengikut budi bicara yang bertujuan untuk menjamin persaraan yang lebih cerah pada masa hadapan.
Pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar tahun lepas, diikuti i-Citra pada Julai, adalah pengecualian katanya, memandangkan inisiatif itu dilaksanakan untuk memenuhi keperluan aliran tunai segera semasa perintah kawalan pergerakan dan kelembapan ekonomi.
Perdana menteri berkata, bantuan kerajaan untuk mangsa banjir boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah.
Bagi mangsa yang rumah mereka musnah dalam banjir, bantuan diberikan lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga RM61,000.
Sehubungan itu, Solomon berkata insentif yang diumumkan Ismail mungkin membantu mangsa banjir tetapi apabila ia tidak mencukupi, beliau menggesa kerajaan menambah peruntukan dengan sewajarnya.
Beliau juga mengingatkan ahli politik bahawa simpanan persaraan pekerja telah berkurangan dengan ketara daripada pengeluaran yang dibuat dalam tempoh dua tahun lepas akibat pandemik Covid-19.
“Agak mengejutkan bahawa 28% (3.6 juta) ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000. Malangnya, ramai pencarum itu adalah daripada komuniti yang diwakili oleh parti politik Umno,” kata Solomon.
“Kita mesti menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain, disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad, dan khususnya, kekurangan gaji.”
Beliau berkata ketiadaan struktur gaji yang baik adalah disebabkan kegagalan Umno menaikkan gaji pekerja supaya setanding dengan Singapura dan negara jiran lain.
Beliau turut menyelar undang-undang buruh yang tidak adil yang menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh yang adil daripada keuntungan.
“Kerajaan Umno selama lebih 60 tahun gagal menaikkan gaji pekerja. Bagi rakyat Malaysia, ini menyebabkan kepincangan sosial yang besar.
“Lebih memburukkan keadaan, penyelewengan dana Malaysia oleh pemimpin tertentu, telah membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa, untuk dijaga semasa bencana seperti ini.”
“Kami berharap kerajaan yang dipimpin oleh Ismail tidak akan mengulangi kesilapan pendahulunya dan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup yang sesuai untuk pekerja supaya mereka mempunyai simpanan yang cukup untuk kecemasan dan simpanan persaraan yang sesuai untuk perlindungan sosial,” tambah Solomon. – 4 Januari, 2022.
Komen