Terbayang wajah anak ketika bawa mangsa tanah runtuh di Batang Kali, kata anggota bomba


Ravin Palanisamy

Pasukan menyelamat membawa keluar mangsa yang dijumpai dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm , Batang Kali, Selangor, pada 16 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

SUDAH menjadi tugas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) untuk menyelamatkan mereka yang dalam bahaya tetapi orang ramai sering lupa mereka juga trauma dalam menjalankan tugas, kata Muhd ​​Safri Bakrin.

Anggota bomba yang merupakan sebahagian daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm , Batang Kali, Selangor, pada 16 Disember lalu berkongsi pengalamannya berdepan situasi itu.

Muhd Safri sudah terlibat dalam banyak operasi SAR sebelum ini tetapi mendakwa operasi kali ini paling mengganggu kerana ia melibatkan kanak-kanak.

Menurutnya dia hampir menangis apabila pasukannya menemui mayat pertama yang merupakan seorang kanak-kanak.

Beliau berkata pasukan itu menemui seorang mangsa lelaki di tapak perkhemahan berkenaan yang menggesa pasukan itu menyelamatkan isteri dan anaknya yang terperangkap dalam kereta mereka yang tertimbus tanah runtuh.

“Mangsa berkenaan pada awalnya menjerit sesuatu dalam bahasa Cina. Dia kemudiannya meminta isterinya membunyikan hon.

“Pasukan kami mula mencari dalam gelap, dalam lumpur separas buku lali dan selepas terdengar bunyi hon baru kami dapat melihat isyarat kereta melalui timbunan tanah.

“Kami mula menggali dan terdapat dua mangsa di dalam kereta, seorang ibu dan anaknya,” kata Muhd ​​Safri kepada The Malaysian Insight.

Ketika cuba berhubung dengan mangsa, Muhd ​​Safri berkata ibunya mahu anaknya diselamatkan terlebih dahulu.

“Kami tidak mahu merumitkan keadaan jadi kami melakukan seperti yang dimintanya tetapi kanak-kanak itu sudah tertimbus di dalam kereta.

“Apabila kami menjumpainya, kami sudah tahu dia sudah pun tidak bernafas,” kata Muhd ​​Safri sambil menambah kanak-kanak lelaki itu berusia kira-kira tujuh tahun.

Salah seorang mangsa yang berjaya ditemui pasukan penyelamat dalam kejadian tanah runtuh di  tapak perkhemahan Father's Organic Farm , Batang Kali, Selangor, pada 16 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

Muhd Safri berkata ketika kejadian fikirannya hanya tertumpu kepada kanak-kanak berkenaan.

“Saya membawa kanak-kanak itu. Saya sudah tahu dia sudah meninggal dunia. Mayat sudah bertukar biru dan hidungnya berdarah,” katanya.

“Ketika itu saya hanya memikirkan anak saya di rumah.

“Walaupun tugas kami adalah untuk menyelamat, insiden seperti ini meninggalkan kesan. Ia amat menyedihkan saya,” tambahnya.

Muhd Safri berkata satu lagi detik sukar baginya ialah merahsiakan kematian kanak-kanak itu daripada ibunya.

“Ibunya terdesak mahu anaknya diselamatkan tetapi kami tahu kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

“Pada ketika itu, saya mahu putus asa tetapi saya terpaksa mengawal diri,” katanya.
 
Muhd Safri berkata ibu mangsa turut cedera parah akibat kejadian tragis itu dan dia tidak mahu menambahkan lagi kesakitan.

Seramai 31 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm , Batang Kali, Selangor, pada 16 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

Dalam kejadian tragis pada 16 Disember lalu di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya itu seramai 31 orang termasuk kanak-kanak maut manakala 61 lagi daripada 92 orang yang berada di tapak perkhemahan itu berjaya menyelamatkan diri dan diselamatkan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru Mohd Adnan Firdaus Abd Jamil yang juga responden pertama berkata, laporan awal yang mendakwa hampir 100 orang terperangkap mengejutkannya.

Katanya jumlah itu terlalu besar baginya yang berpengalaman.

Mohd Adnan berkata walaupun tragis, dia berasa lega kerana 61 orang terselamat dalam kejadian itu.

“Saya tidak boleh mematahkan semangat atau menyuruh seseorang untuk tidak melakukan aktiviti sebegitu lagi tetapi orang ramai yang melakukan perkara sebegini perlu lebih berwaspada dan memastikan tempat yang mereka pergi berlesen dan tidak beroperasi secara haram,” katanya.

Menurut Pasukan Bantuan dan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), tanah runtuh di Father’s Organic Farm adalah bencana kedua terburuk di Malaysia dari segi kematian selepas kondominium Highland Towers runtuh pada 1993 yang meragut 48 nyawa.

Dalam operasi ini seramai 31 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang berlakupada jam 2.30 pagi. – 15 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen