Laporan awal tragedi Batang Kali dibentang ke Kabinet semalam, kata menteri


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata maklum balas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas laporan penuh tragedi itu siap.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2023.

LAPORAN awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lepas telah dibentangkan ke Kabinet semalam, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tanpa mendedahkan inti pati laporan berkenaan, beliau berkata laporan awal bencana tanah runtuh yang disediakan kementeriannya menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) itu, telah dibaca oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sebarang maklum balas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas laporan penuh (tragedi itu) siap dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Cyberjaya hari ini sebagai mengulas status terkini laporan tragedi berkenaan.

Sebelum ini, Nik Nazmi dilaporkan berkata laporan penuh akan dibentangkan ke Kabinet dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga akan mengambil pendekatan holistik meliputi aspek undang-undang dan struktur pembangunan agar insiden sama tidak berulang.

Tragedi pada kira-kira 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan tersebut. – Bernama, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen