Penjawat awam suspek kes curi barang mangsa Batang Kali ditahan


31 orang termasuk 12 kanak-kanak terbunuh dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2023.

SEORANG penjawat awam ditahan berkaitan kes kecurian barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, kata pemangku Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi.

Beliau berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan semalam dan polis sedang mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kami juga merampas barangan dipercayai milik mangsa ketika tangkapan dibuat,” katanya kepada wartawan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya.

Pada 2 Januari lepas, OCPD Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata polis sedang menyiasat dakwaan invididu menggunakan kad Touch ‘n Go milik salah seorang mangsa tragedi Batang Kali yang tular di Facebook.

Suffian berkata hantaran di Facebook pada 16 Disember itu dipercayai dibuat salah seorang waris mangsa tragedi tanah runtuh.

“Polis menerima dua laporan kejadian itu pada 2.47 pm.

“Satu kertas siasatan sudah dibuka untuk menyiasat kes itu kerana mencuri,” katanya dalam kenyataan.

Suffian menasihati waris mangsa untuk menghubungi polis jika mereka mendapati wujud sebarang masalah kehilangan barangan mangsa.

Tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember lalu mengorbankan 31 orang, 12 daripadanya adalah kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun. 61 mangsa lagi terselamat. – 7 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen