Garis panduan perkhemahan di Selangor April ini, kata exco


Noel Achariam

Kerajaan negeri bakal mengadakan bengkel bagi mendapatkan maklum balas pengusaha dan PBT sebelum merangka garis panduan aktiviti perkhemahan di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2023.

GARIS panduan bagi aktiviti perkhemahan kerajaan negeri Selangor dijangka siap dalam tempoh empat bulan lagi.

Exco Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata bengkel kepada pemegang taruh berkait garis panduan itu bakal bermula selepas Tahun Baru Cina ini. 

“Saya tunggu maklum balas daripada bengkel itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya bengkel itu akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha tapak perkhemahan bagi mendapatkan input mereka.

“Kita perlu mendapatkan maklum balas dan input daripada peserta untuk melihat bagaimana nak sediakannya (garis panduan).

“Kami akan segerakannya. Mungkin boleh siap dalam tempoh empat bulan,” katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata negeri itu akan menguat kuasakan garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan sebagai enakmen atau peraturan pekeliling bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh seperti yang meragut 31 nyawa di Batang Kali berulang lagi.

Dalam pada itu Pengusaha Tapak Perkhemahan Asia Camp Azizan Yunus berkata mereka amat menantikan garis panduan perkhemahan itu.

Katanya, garis panduan itu perlu disegerakan susulan industri itu sudah terjejas.

Tambah Azizan, kerajaan negeri yang lain juga perlu mengikut inisiatif Selangor ini dalam menetapkan garis panduan berkaitan perkhemahan itu.

Sementara itu Ng berkata negeri itu akan melakukan bancian bagi menentukan jumlah sebenar tapak perkhemahan di Selangor.

Katanya, kerajaan akan melihat lokasi tapak itu sama ada sensitif terhadap sistem ekologi, berbahaya untuk aktiviti rekreasi atau tidak.

16 Disember lalu tragedi tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali membabitkan 92 mangsa yang meragut 31 nyawa. – 9 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen