Contohi Selangor wujudkan garis panduan perkhemahan, kata pengusaha


Noel Achariam

Garis panduan yang dikeluarkan negeri akan memberi jaminan keselamatan kepada mereka yang mengikuti aktiviti berkhemah, kata pengusaha tapak perkhemahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari 2023.

SETIAP negeri harus mencontohi langkah kerajaan negeri Selangor untuk memperkenalkan garis panduan perkhemahan, kata seorang pengusaha tapak perkhemahan.

Pemilik Asia Camp Sdn Bhd Azizan Yunus berkata penting untuk garis panduan itu dikeluarkan secepat mungkin kerana industri itu terjejas berikutan tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 orang.

Beliau berkata garis panduan yang dikeluarkan oleh semua negeri akan memberi jaminan kepada mereka yang mengikuti aktiviti berkenaan mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berkhemah.

Azizan juga berkata adalah lebih baik jika ada garis panduan standard untuk semua negeri.

“Adalah baik untuk mempunyai garis panduan sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan jangka panjang.

“Perkhemahan adalah pengalaman yang mana mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jadi, garis panduan akan memudahkan semua,” katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata negeri itu akan merangka garis panduan susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali baru-baru ini.

“Kita akan ambil langkah dan semak (perkara ini) dengan teliti kerana sebelum ini pengusaha tapak perkhemahan tidak memerlukan sebarang lesen. Kita perlu meneliti perkara itu tetapi tidak sampai ke tahap menutup tapak perkhemahan.

“Kita mesti bertindak dan melihat perkara itu secara menyeluruh, kita tidak boleh membuat keputusan panik dan tergesa-gesa, sebab itu saya perlu melihat laporan itu,” katanya.

Kerajaan Selangor masih belum mengeluarkan sebarang arahan supaya tapak perkhemahan di negeri itu ditutup operasi susulan tragedi itu.

Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan Selangor Ng Sze Han memberitahu The Malaysian Insight garis panduan kerajaan negeri mengenai perkhemahan boleh siap dalam masa kira-kira empat bulan.

Azizan juga berkata terdapat kemerosotan dalam perniagaan sejak kejadian itu.

“Berbanding tahun lepas, bulan ini kami menjangkakan kerugian sehingga 70%.

“Walaupun sekatan itu ditarik balik, permintaannya adalah rendah,” katanya.

Beliau berkata, lawatan sekolah, latihan membina pasukan dan program lain telah menurun pada bulan ini.

Tambahnya, mengikut pangkalan data mereka, terdapat kira-kira 300 tapak perkhemahan di negara ini. Syarikatnya mempunyai 30 pengusaha di pelbagai tapak.

Tragedi tanah runtuh 16 Disember yang menggemparkan negara melibatkan 92 mangsa, yang mana 31 daripadanya kehilangan nyawa dalam runtuhan. – 9 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen