Guru trauma tragedi tanah runtuh Batang Kali


Ravin Palanisamy

Pasukan pencari dan penyelamat bekerja siang dan malam untuk mencari mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Januari, 2023.

“SEMUANYA berlaku dalam sekelip mata dan dalam masa itu, saya kehilangan anak saudara, pelajar dan rakan sekerja dalam tragedi ini”.

Itulah memori memilukan seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh baru-baru ini di Father’s Organic Farm di Batang Kali, yang hanya mahu dikenali sebagai Toi.

Toi, seorang guru di SJKC Mun Choong, yang pergi bercuti dalam percutian tidak rasmi sekolah bersama rakan guru dan ahli keluarga mereka, turut membawa dua anaknya, berusia 5 dan 2 tahun, bersama anak saudaranya yang berusia 13 dan 11 tahun.

Toi kehilangan anak saudaranya Ng Yee Tong, dalam kejadian tanah runtuh itu.

Lebih teruk lagi, dalam kalangan tujuh guru wanita termasuk Toi yang pergi bercuti, hanya dia seorang yang terselamat dalam kejadian tragis itu.

Tiga pelajarnya juga maut dalam kejadian tanah runtuh itu, katanya.

Mengimbau kembali kejadian itu, Toi, 38, berkata apa yang didengarinya hanyalah jeritan kuat pada awal pagi ketika bencana itu melanda.

“Hari sudah lewat malam dan kebanyakan mereka di tapak perkhemahan sudah pun tidur.

“Tiba-tiba, saya terdengar jeritan kuat. Saya bangun untuk memeriksa tetapi perkara berlaku begitu pantas dan perkara seterusnya yang saya sedari, saya sudah tertimbus dalam lumpur.

“Mujurlah ada orang yang mendengar jeritan saya meminta tolong dan mereka menyelamatkan saya. Badan saya hampir tertimbus sepenuhnya tetapi lengan dan kaki kiri saya tidak tertimbus. Ia membolehkan orang ramai mengesan dan menyelamatkan saya,” kata Toi kepada The Malaysian Insight.

Toi berkongsi pengalaman traumatiknya dengan The Malaysian Insight selepas beliau menghadiri majlis penghargaan khas yang diadakan oleh Ketua Bahagian PKR Hulu Selangor Dr N Sathia Prakash, mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan agensi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas kejadian tanah runtuh.

Toi berkata, dia tertimbus hampir tujuh minit sebelum diselamatkan.

Beliau berkata, anak lelakinya yang berusia 2 tahun turut tertimbus dalam lumpur tetapi berjaya diselamatkan sebelum pasukan SAR tiba.

“Ketika saya tertimbus, saya hampir berputus asa kerana saya sukar untuk menanganinya. Saya sudah letih tetapi saya boleh dengar anak perempuan saya menangis. Saya bertahan dan menjerit meminta tolong.

“Apabila saya diselamatkan, saya melihat anak-anak saya sudah diselamatkan dan anak saudara saya berjaya ke tempat selamat tetapi anak saudara perempuan saya hilang,” kata guru sekolah itu.

Terdapat tiga sektor - Sektor A (pemandangan bukit), Sektor B (pemandangan ladang) dan Sektor C (tepi sungai) - di tapak perkhemahan itu.

Toi berkata, mereka berada di Sektor A ketika kejadian malang itu berlaku dan mereka kemudiannya berpindah ke Sektor B, yang lebih selamat ketika itu.

Beberapa mangsa yang terselamat bertemu dengan pegawai Bomba yang menyelamatkan mereka dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Januari, 2023.

Mencari anak saudara

Apabila menyedari anak saudara perempuannya hilang, Toi mula mencari.

Toi berkata, beliau secara kasarnya mengetahui di mana lokasi khemahnya dan mula mencari di kawasan itu.

“Secara kasarnya saya dapat mengenal pasti di mana anak saudara saya boleh tertimbus berdasarkan lokasi khemahnya tetapi dia tertimbus jauh di dalam.

“Saya meminta bantuan daripada orang di sana. Kami tidak mempunyai sebarang alat untuk menggali. Jadi, kami hanya menggali dengan tangan tetapi kami tidak dapat menemuinya,” kata Toi yang sebak.

Beliau kemudian memaklumkan kepada pasukan SAR apabila mereka tiba dan merayu kepada mereka untuk mencari anak saudaranya.

Beliau berdoa supaya anak saudaranya ditemui semasa penyelamat mencarinya. Toi beragama Buddha.

“Pasukan Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat) tidak memaklumkan keadaannya kepada saya ketika mereka menemuinya.

“Apa yang saya ingin tahu sama ada dia masih bernafas dan sama ada dia baik-baik saja tetapi mereka tidak mahu memberitahu kerana bimbang saya tidak dapat menerima berita itu.

“Tetapi saya sudah tahu dia tiada lagi,” Toi berkongsi berita tragis itu sambil menutup muka dengan tangannya.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada pasukan SAR kerana membantu mencari anak saudaranya.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada mereka. Jika tidak, mungkin mayat anak saudara saya tidak ditemui,” katanya.

Beberapa mangsa yang terselamat bersama keluarga mangsa menghadiri majlis penghargaan kepada anggota Bomba yang bertugas ketika kejadian di Batang Kali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Januari, 2023.

Gagal berdepan realiti

Toi berkata, peristiwa tragis itu adalah “mimpi ngeri” yang tidak boleh dilupakannya sepanjang hayat.

Beliau berkata terlalu sukar untuk bersemuka dengan kakaknya, ibu kepada anak saudara perempuannya itu.

Seramai 31 orang maut dalam kejadian tanah runtuh itu, 11 daripadanya ada kaitan dengan sekolah itu.

Antara yang maut, enam guru wanita itu adalah rakan sekerjanya yang ditemui setiap hari di tempat kerja.

“Ia memberi kesan yang mendalam kepada saya kerana bukan sahaja saya terbabit secara peribadi tetapi orang yang saya kenali tidak lagi hidup kerana tragedi ini,” katanya.

Toi berkata, beliau tidak mampu melihat tempat duduk rakan sekerjanya yang maut dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Apabila saya kembali bekerja, saya tidak sanggup melihat tempat rakan sekerja saya duduk.

“Saya tidak berani berjalan melalui tempat mereka. Kejadian itu masih segar dalam ingatan saya,” katanya.

Toi menambah beliau akan berdoa setiap hari untuk menenangkan fikiran.

“Setiap malam, saya akan menangis. Saya tidak dapat mengawal perasaan atau emosi saya. Saya tidak boleh melakukannya pada waktu siang kerana keluarga saya akan risau melihat saya.

“Jadi, saya akan membaca doa setiap hari untuk mengalihkan fikiran saya daripada kejadian itu dan berdoa supaya roh mangsa berehat dengan tenang,” katanya.

Dalam kejadian tanah runtuh yang tragis pada 16 Disember lalu, di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali, 31 orang termasuk kanak-kanak maut manakala 61 lagi daripada 92 yang berada di tapak perkhemahan itu berjaya diselamatkan. – 15 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen