Suaram gesa mansuh, kaji semula akta jejas hak asasi manusia


Ravin Palanisamy

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata majoriti yang kukuh di Parlimen adalah mandat untuk digunakan untuk kebaikan rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

SUARA Rakyat Malaysia (Suaram) mengemukakan empat permintaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menggesa beliau untuk melaksanakannya tanpa sebarang kelewatan.

Pengarah eksekutifnya Sevan Doraisamy berkata antara permintaan itu ialah pemansuhan beberapa undang-undang zalim dan pindaan beberapa akta dan dasar.

Empat permintaan itu ialah:

  • Pemansuhan undang-undang yang membolehkan hukuman tanpa melalui proses kehakiman iaitu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota). 
  • Gantikan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam bentuk asalnya, tingkatkan akauntabiliti polis dan wujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penyeksaan dan kematian dalam tahanan.
  • Di bawah payung kebebasan bersuara, mansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), meminda, dan menghadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), mansuhkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPP).
  • Mengenal pasti, mengiktiraf peranan utama pembela hak asasi manusia sebagai individu atau kumpulan yang bertindak untuk mempromosikan hak asasi manusia dan kebebasan asasi melalui cara yang aman

Sevan berkata Suaram dan masyarakat sivil telah menyokong perubahan ini sejak zaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan penyelewengan keadilan yang dialami oleh ramai anggota kerajaan hari ini.

Aktivis itu berkata, beliau berharap janji yang dibuat untuk membina Malaysia yang lebih baik, selamat dan saksama akan dapat ditunaikan.

“Sudah tiba masanya Malaysia melangkah keluar dari zaman kegelapan dan menuju ke era politik matang, pendekatan berpaksikan rakyat, dan tadbir urus yang baik.

“Majoriti yang kukuh di Parlimen adalah mandat untuk digunakan untuk kebaikan rakyat, bukan alasan untuk menutup mulut pengkritik,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim, dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. – 29 November, 2022.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen