Kebebasan, hak asasi manusia terancam di bawah Perikatan, kata Suaram


Noel Achariam

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata undang-undang keselamatan yang membenarkan penahanan tanpa bicara terus digunakan sepanjang 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

KEBEBASAN dinikmati semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) semakin hilang di bawah kerajaan baharu, kata kumpulan hak asasi manusia Suaram.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata kerajaan baharu enggan menunaikan janji berhubung hak asasi manusia.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberikan keyakinan itu.

“Sikap tidak acuh kerajaan terhadap isu hak asasi manusia membuatkan kami percaya mereka tidak memberi perhatian terhadap menangani masalah hak asasi manusia,” katanya semasa pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2020 hari ini.

Sevan berkata satu daripada isu utama adalah undang-undang keselamatan yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan terus disalahgunakan sepanjang 2020.

“Pandemik dan sekatan pergerakan tidak menghalang penggunaan undang-undang tersebut.

“Undang-undang ini sering dibenarkan dengan alasan pencegahan jenayah. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) digunakan lebih kerap berbanding tahun-tahun sebelumnya pada 2020.”

Tahun lalu, Putrajaya, di bawah PH berkata mereka ingin mengkaji semula, dan tidak memansuhkan Sosma.

Mereka ingin membuat semakan berhubung tempoh reman (penahanan tanpa perbicaraan) selama 28 hari, dan memberi tahanan akses kepada penasihat undang-undang.

Pegawai dokumentasi Suaram, Kenneth Chang berkata kemungkinan pindaan terhadap Sosma yang dijanjikan oleh PH menemui kegagalan dengan kejatuhan kerajaan baru-baru ini.

“Bagi penahanan tanpa perbicaraan terdapat penggunaan Sosma yang meluas, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1985.”

Beliau berkata pada 2018 terdapat 408 individu yang ditahan di bawah Sosma, 2019 (123) dan pada 2020 (770).

Sementara bagi Poca pula, terdapat 499 individu yang ditahan pada 2018, 2019 (908) dan 2020 (667).

Chang berkata jumlah itu berdasarkan dokumentasi Suaram berhubung Sosma dan data yang konsisten daripada sumber Parlimen. – 9 Disember, 2020. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen