Suaram persoal lantikan baharu Suhakam


Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy menegaskan menegaskan pengerusi dan pesuruhjaya Suhakam perlu berkecuali dari segi politik untuk memastikan ia kekal sebagai institusi bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2022.

PUTRAJAYA melantik beberapa tokoh kontroversi bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang disifatkan tidak berkongsi nilai teras hak asasi manusia, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mempersoalkan pilihan kerajaan persekutuan bagi pesuruhjaya Suhakam yang baharu, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata ia mengecewakan memandangkan Malaysia baru-baru ini mendapat kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Suaram amat meragui pengerusi Suhakam yang baharu dilantik, Dr Rahmat Mohamad boleh menjalankan tugasnya untuk menunaikan mandat Suhakam.

“Beliau dilaporkan menentang Malaysia daripada meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana beliau seorang daripada empat ahli akademik yang bersama-sama menulis kertas kerja yang meyakinkan Majlis Raja-Raja untuk menolak Statut Rom.

“Pandangan akademik Rahmat mengenai Statut Rom mungkin menjejaskan mandat Suhakam,” kata Sevan dalam satu kenyataan hari ini.

Mandat Suhakam termasuk membuat syor kepada kerajaan mengenai persetujuan kepada perjanjian dan instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang lain, kata Sevan.

Rahmat dan tujuh lagi pesuruhjaya baharu diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu lepas.

Sevan berkata dua lagi pesuruhjaya baharu diketahui mempunyai kaitan kuat dengan Umno, parti Ismail Sabri yang beliau merupakan naib presiden.

“Hasnal Rezua Merican Habib Merican ialah pengerusi Umno Cawangan Selayang, dan Nazira Abdul Rahim ialah pengerusi Bahagian Wanita Umno Cawangan Kulim dan Bandar Baharu serta ahli majlis tempatan sekarang yang dilantik partinya untuk Bandar Baharu.

“Suaram menegaskan pengerusi dan pesuruhjaya harus berkecuali dari segi politik untuk memastikan Suhakam kekal sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik dan oleh itu dapat melaksanakan tugasnya tanpa rasa takut dan pilih kasih.”

Pengaruh politik mereka boleh menyebabkan Suhakam terjejas dalam kerjanya mengadakan siasatan terhadap aduan hak asasi manusia, tambah Sevan. – 3 Julai, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen