Hentikan tindakan terhadap pengkritik, kata kumpulan masyarakat sivil


Noel Achariam

Aktivis peguam Siti Kasim dipanggil polis untuk siasatan berhubung kenyataannya yang engkritik pentadbiran sekolah tahfiz.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.

KUMPULAN masyarakat sivil menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan gangguan terhadap mereka yang mahu masyarakat berubah ke arah yang lebih baik.

Gesaan itu dibuat selepas aktivis peguam Siti Kasim dipanggil untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia hari ini berhubung kenyataannya di Facebook yang didakwa berbaur hasutan dan pecah keamanan.

Beliau juga dilaporkan akan dipanggil polis untuk disoal siasat.

Seorang lagi individu yang turut dipanggil untuk disoal siasat berhubung posing di media sosial adalah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Pengurus Projek Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dobby Chew berkata, Yeoh dan Siti Kasim tidak sepatutnya menjadi sasaran kerana kritikan mereka.

“Mereka bukan mengancam sesiapa atau cuba untuk menghasut rakyat menggulingkan kerajaan.

“Mereka hanya mencabar gagasan, gerakan atau idea. Jadi, bagaimana itu boleh menjadi satu jenayah?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chew berkata, tindakan terhadap mereka seolah-olah satu gangguan yag disasarkan, terutamanya terhadap individu yang lantang bersuara terhadap pentadbiran atau mempunyai rekod memperjuangkan hak asasi.

“Mereka bukannya mula mengkritik (kerajaan) semalam. Ia sudah lama berlaku. Ia bukan sesuatu yang baharu.

“Mereka mencari cerita lama dan ini tidak sepatutnya berlaku.”

Beliau turut mempersoalkan pihak yang membuat aduan terhadap Siti Kasim dan Yeoh.

“Sekiranya mereka mahu jadikannya isu, mereka perlu ambil tindakan segera (apabila ia dimuat nak di media sosial) dan bukan beberapa bulan kemudian.

“Pihak berkuasa sepatutnya biarkan mereka. Ia boleh disifatkan sebagai ulasan politik.

“Mereka (pihak berkuasa) sepatutnya meelihat siapa yang memberi ancaman kepada pihak lain di media sosial.”

Minggu lalu, Siti Kasim berkata, beliau dipanggil oleh polis berhubung beberapa laporan dibuat terhadapnya oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Sejak beberapa minggu lalu, beliau mengkritik pengurusan sekolah tahfiz, mengatakan sekolah berkenaan tidak bermasalah, tetapi mereka yang mentadbirnya bermasalah.

Sementara itu Yeoh dipanggil Bukit Aman berhubung kenyataannya di Twitter pada Mac berhubung pelan strategi kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan pada Januari. 

Semalam, beliau menerusi Twitter mempersoalkan sama ada dirinya disiasat kerana kenyataan palsu yang dikaitkan dengannya.

Melanggar hak kebebasan bersuara

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) turut membangkitkan kebimbangan mereka berhubung tindakan terhadap Siti Kasim, Yeoh dan beberapa siasatan yang didakwa melanggar hak kebebasan bersuara di Malaysia.

“Oleh kerana hak untuk kebebasan bersuara semakin terancam, kami mendesak pihak berwajib untuk berhenti menggunakan alat penindas yang dapat menimbulkan ketakutan dan untuk mengelakkan salah faham.

“Dengan menggunakan tekanan ini, meenunjukkan negara belum mencapai tahap masyarakat demokratik yang diperjuangkan rakyat Malaysia.”

Proham turut menggesa kerajaan menyediakan persekitaran yang membolehkan rakyat memainkan peranan dalam hal ehwal awam dengan cara yang betul.

“Oleh itu, kritikan terhadap dasar kerajaan harus dibenarkan.

“Kami juga menggesa kerajaan untuk menegakkan hak untuk bersuara sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, kerana penting untuk melindungi siapa pun yang menyatakan ketidakpuasan atau kritikan terhadap pihak berwajib.”

Tambahnya, kerajaan juga perlu memastikan semua undag-undang yang menghalang hak kebebasan bersuara dipinda agar ia mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.– 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen