Adakah saya disiasat kerana kenyataan palsu, soal Hannah Yeoh


Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh membantah kesahan kenyataan mengkritik PAS yang mengaitkan dirinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

BUKIT Aman sedang menyiasat Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung kenyataan yang didakwa tidak dibuatnya. 

Polis kini menyiasat Facebook “Hannah Yeoh” kerana didakwa menyiarkan kenyataan menghasut dan menggugat ketenteraman awam. 

Sebagai maklum balas, Yeoh menerusi Twitter memuat naik semula kenyataan berkenaan berserta kapsyen, “Jadi, kini polis menyiasat saya kerana kenyataan palsu?”

Terdahulu hari ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, siasatan bermula pada 11 Mac di bawah Sesyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Akta ini merujuk kepada kecenderungan menghasut dan penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.

Kenyataan yang disiasat adalah seperti berikut:

“Memandangkan timbalan menteri KPWKM adalah dari PAS, maka perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan bawah umur (bagi menghalakkan seks dengan kanak-kanak) akan berleluasa selepas ini. Inilah penyakit orang Islam di negara ini. Tidak bertamadun”.

Semalam, Yeoh diminta hadir ke Bukit Aman untuk disoal siasat berhubung kenyataan mengenai perkahwinan kanak-kanak di media sosial. 

Dalam ciapan asalnya, Yeoh menyatakan kebimbangan berhubung pelan strategi kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. – 17 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen