Penembak sekolah Florida dihukum penjara seumur hidup


Nikolas Cruz dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selepas didapati bersalah atas 17 pertuduhan pembunuhan terancang dalam insiden tembakan 2018. – Gambar AFP, 14 Oktober, 2022.

JURI Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menolak hukuman mati terhadap Nikolas Cruz, yang menembak dan membunuh 17 orang di sekolah menengah lamanya di Florida, sebaliknya memilih penjara seumur hidup tanpa peluang parol.

Juri berbincang selama sejak Rabu sebelum memutuskan Cruz yang berusia 24 tahun harus menerima hukuman penjara seumur hidup berhubung pembunuhan 14 pelajar dan tiga kakitangan pada Februari 2018 di Marjory Stoneman Douglas High School di Parkland, Florida.

Semasa penghakiman dibacakan, Cruz, memakai baju sejuk berjalur dan cermin mata besar, merenung tanpa ekspresi di meja pembelaan manakala beberapa waris mangsa di galeri awam menggelengkan kepala tidak percaya.

Cruz mengaku bersalah atas pembunuhan Hari Valentine tahun lalu dan pendakwa raya berhujah semasa perbicaraan penalti selama tiga bulan bahawa hukuman yang sesuai ialah hukuman mati.

Melisa McNeill, peguam Cruz, menggesa para juri menunjukkan belas kasihan kepada seorang pemuda yang disifatkannya sebagai indvidu yang mempunyai masalah mental. – AFP, 14 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen