Kanak-kanak dua tahun tertembak, bunuh bapa di Florida


Kes tembak secara tidak sengaja di Amerika Syarikat bukan perkara baharu, malah ianya berlaku ketika perdebatan mengenai peraturan senjata api makin meningkat di negara itu, susulan kejadian tembakan beramai-ramai di pasar raya, hospital dan sekolah rendah, antara lain. – Gambar EPA, 7 Jun, 2022.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun secara tidak sengaja menembak dan membunuh bapanya di Florida selepas bermain dengan pistol berisi peluru hidup yang ditinggalkan ibu bapanya, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin.

Apabila pegawai polis tiba di rumah mangsa dekat Orlando pada 26 Mei, mereka mendapati ibu kanak-kanak itu Marie Ayala memberikan CPR kepada suaminya, Reggie Mabry.

Penguatkuasa pada mulanya percaya lelaki berusia 26 tahun itu telah menembak dirinya sendiri, tetapi anak sulung daripada tiga anak pasangan itu kemudian memberitahu penyiasat bapanya ditembak secara tidak senagaja oleh adiknya yang berusia dua tahun, kata Sheriff Orange County John Mina.

Pistol itu berada dalam beg yang ditinggalkan Mabry di lantai dan kanak-kanak itu terserempak dengannya sebelum menembak bapanya di belakang semasa ayahnya itu bermain permainan video di komputer, menurut dokumen mahkamah.

Lima sekeluarga itu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima bulan berada dalam bilik yang sama ketika kejadian.

Kedua-dua ibu bapa berada dalam parol pada masa itu selepas beberapa kesalahan pengabaian kanak-kanak dan penggunaan dadah, kata sheriff.

Tragedi sebegini bukan perkara luar biasa di Amerika Syarikat.

Pada Ogos 2021, seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun menjumpai pistol yang ditinggalkan dalam beg galas dan membunuh ibunya di kepala ketika ibunya itu mengambil bahagian dalam sidang video secara dalam talian.

Kemalangan terbaharu itu juga berlaku ketika perdebatan mengenai peraturan senjata api berleluasa di AS, selepas beberapa kejadian tembakan beramai-ramai di pasar raya, hospital dan sekolah rendah, antara lain. – AFP, 7 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen