Kapal migran karam di Florida, 23 hilang


Pengawal Pantai Amerika Syarikat berusaha mengesan 23 pendatang yang hilang selepas kapal yang dinaiki mereka karam di Florida.– Gambar EPA, 29 September, 2022.

PENGAWAL Pantai Amerika Syarikat (AS) sedang mengesan 23 pendatang selepas kapal mereka karam akibat dilanda Taufan Ian di pantai Florida, lapor Xinhua.

Walter Slosar, ketua ejen Peronda Sempadan AS sektor Miami, menerusi Twitter pada Rabu memaklumkan bahawa anggotanya telah mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung insiden pendatang mendarat di Stock Island, Monroe County Florida.

Slosar berkata empat “pendatang Cuba berjaya berenang ke pantai selepas kapal mereka karam akibat cuaca buruk”, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mengesan 23 lagi individu.

Ian, taufan Kategori Empat dengan kelajuan angin mencecah 250 kilometer sejam, mendarat di pantai barat Florida pada petang Rabu. – Bernama, 29 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen