SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kebebasan badan kehakiman terus dilindungi dan dipertahankan daripada sebarang desakan atau pengaruh, termasuk daripada pihak eksekutif.
Dalam satu kenyataan media, baginda turut menyeru seluruh rakyat supaya menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, yang menjadi “teras dan paksi” sistem demokrasi raja berperlembagaan.
“... menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik Badan Kehakiman agar ia tidak tercemar daripada sebarang bentuk pengaruh dan tekanan.
“Beta mengambil kesempatan di sini juga untuk mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak daripada sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat DYMM Sultan Selangor.
Sultan Selangor bertitah baginda mengikuti rapat dan mengambil perhatian perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan sistem pentadbiran keadilan negara sejak akhir-akhir ini.
Baginda tidak menyebut secara khusus isu-isu berkenaan, namun mengingatkan badan kehakiman dimartabatkan bebas dan berwibawa melalui Perlembagaan Persekutuan.
“Badan Kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” titah baginda.
Sultan Selangor juga menegur mereka yang melemparkan fitnah kepada badan kehakiman dan hakim-hakimnya.
“Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.
“Sebarang tohmahan yang tidak berasas ini akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan Badan Kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara,” titah baginda.
Keadaan itu juga akan menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa, tambah baginda.
Kelmarin, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya membaca terlebih dahulu alasan penghakiman mahkamah sebelum membuat kesimpulan dan menyerang badan kehakiman.
Katanya, kebanyakan komen yang dibuat terhadap dirinya dan badan kehakiman terutama selepas keputusan mahkamah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak adalah berdasarkan sentimen semata-mata.
Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim yang menolak rayuan akhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman ke atas bekas perdana menteri berhubung penyelewengan RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.
Mereka antara lain sebulat suara memutuskan pembelaan Najib pembelaan Najib terhadap tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – 12 September, 2022.
Komen