JENAZAH bekas Menteri Besar Selangor Allahyarham Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke makam berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Zohor dengan dipimpin oleh imam besar Muhammad Farhan Wijaya dan disertai ratusan jemaah termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta beberapa ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen Selangor.
Terdahulu, jenazah Menteri Besar ke-14 Selangor itu tiba di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara kira-kira jam 6 pagi tadi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Abdul Khalid meninggal dunia pada jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Abdul Khalid, 76, dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan kuman pada injap jantung.
Sementara itu, anak Allahyarham, Muhammad Ali Iqbal menerusi kenyataan di laman Facebook bapanya berkata mereka sekeluarga menjunjung kasih kepada Sultan Selangor yang sudi mencemar duli memberi penghormatan terakhir.
“Menjunjung kasih yang tidak terhingga juga di atas limpah kurnia Tuanku memperkenan ayahanda disemadikan di Makam Diraja Shah Alam,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada seluruh warga Cardiac Vascular Sentral Hospital yang telah merawat dan memberikan perkhidmatan sepanjang bapanya berada di hospital itu sejak 23 April lepas, serta semua pihak yang terlibat dalam mengurus pengebumian Allahyarham.
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada seluruh rakyat jelata yang telah tidak putus-putus mendoakan ayahanda saya sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar,” katanya.
Katanya, bagi pihak keluarga beliau dengan rendah diri mohon dihalalkan segala yang telah Allahyarham Abdul Khalid terima daripada rakyat dan memaafkan bapanya jika ada melakukan kesalahan dan menyinggung mana-mana pihak, sama ada secara sengaja atau tidak. – Bernama, 1 Ogos, 2022.
Komen