Sultan Selangor titah Persiaran Institut ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub


Pertukaran nama kepada Persiaran Tun Arshad Ayub ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 hingga ke persimpangan lampu isyarat Seksyen 7, Shah Alam. – Gambar Facebook, 23 Jun, 2022.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub, bersempena nama pengarah pertama Institut Teknologi Mara yang kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Istana Alam Shah memaklumkan titah Sultan Selangor itu telah diluluskan dan dikuatkuasakan serta merta oleh kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 (di hadapan pintu masuk utama UiTM) hingga persimpangan lampu isyarat (berhampiran Universiti Selangor) Seksyen 7, Shah Alam,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, penukaran nama persiaran tersebut adalah bagi mengenang jasa Allahyarham Arshad yang juga tokoh pendidikan negara dihormati dan disegani serta banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya pembangunan UiTM.

Allahyarham Arshad telah kembali ke Rahmatullah pada 14 Jun lepas di usia 93 tahun. – Bernama, 23 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen