Sultan Selangor benarkan festival Bon Odori diteruskan


Aminah Farid

Jais berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk hadir ke festival Bon Odori bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya tidak mengganggu sambutan festival Bon Odori yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Jais berkata baginda telah menitahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.

Pengarah Jais Shahzihan Ahmad berkata baginda sendiri pernah menghadiri sambutan tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Kenyataan itu terbit selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menasihatkan umat Islam tidak menghadiri sambutan tahunan itu “kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain,” berikutan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semalam secara terbuka menyatakan sambutan itu akan diteruskan seperti dirancang.

Katanya kerajaan negeri juga akan berhubung dengan pihak Kedutaan Jepun dan pengkaji bidang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penganjuran festival tersebut.

Tambah Amirudin, sebelum ini pihaknya tidak menerima sebarang nasihat atau pandangan berkaitan penganjuran festival itu sebaliknya menganggap ia sebagai acara kebudayaan. 

Festival tahunan Bon Odori dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia. Berikutan pandemik, tahun ini perayaan itu akan diadakan semula di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic). pada 16 Julai ini dan di Pulau Pinang pada 30 Julai depan.

Antara unsur budaya Jepun yang dipertontonkan semasa perayaan tersebut ialah persembahan gendang dan tarian Bon Odori. – 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen