Bon Odori: Selangor rujuk pihak berkuasa agama negeri, kata MB


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya akan berhubung dengan Kedutaan Jepun dan pengkaji bidang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penganjuran festival Bon Odori. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2022.

KERAJAAN Selangor akan merujuk pihak berkuasa agama negeri susulan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Festival Tahunan Bon Odori yang disifatkan mengandungi unsur agama lain.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya juga akan berhubung dengan pihak Kedutaan Jepun dan pengkaji bidang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penganjuran festival tersebut.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya tidak menerima sebarang nasihat atau pandangan berkaitan penganjuran festival itu sebaliknya menganggap ia sebagai acara kebudayaan. 

“Kita perasan informasi (larangan menyertai festival) itu datang beberapa hari lepas menerusi Wikipedia, malah sebelum ini, tidak timbul isu mengenai festival itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata pihaknya akan meneruskan Festival Bon Odori itu, iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam  (Panasonic) pada 16 Julai ini, untuk memberi ruang kepada penganut agama lain menyambutnya seperti mana-mana perayaan yang disambut dalam negeri itu.

Semalam, Idris berkata umat Islam dinasihatkan supaya tidak menyertai Festival Bon Odori kerana berdasarkan kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendapati festival itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Mengenai SELPHAC, Amirudin berkata penubuhan jawatankuasa itu diluluskan 13 April lepas selari hasrat Kementerian Kesihatan bagi mengukuhkan agenda kesihatan awam dalam kalangan masyarakat selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik. – Bernama, 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen