Pesuruhjaya PAS Selangor dipanggil menghadap sultan


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini. – Gambar Facebook, 15 Jun, 2022.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Tanpa banyak perincian Pejabat Diraja Selangor dalam satu kenyataan di Facebook berkata pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam.

Pertemuan itu dibuat selepas Ahmad pada 10 Jun lalu meminta kerajaan negeri Selangor tidak membenarkan umat Islam menyertai perayaan Bon Odori yang bakal diadakan.

Ini di sebalik titah Sultan Sharafuddin kepada Jabatan Agama Islam negeri (Jais) supaya tidak menganggu festival Bon Odori yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Festival Bon Odori menjadi kontroversi selepas Menteri Hal EHwal Agama Idris Ahmad tidak menggalakkan umat Islam menyertai acara tahunan itu yang didakwanya “dipengaruhi oleh unsur agama lain” menurut penyelidikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Festival itu yang akan dianjurkan pada 16 Julai di Kompleks Sukan Shah Alam itu sudah dianjurkan selama 40 tahun sebagai acara sosial untuk masyarakat dan syarikat Jepun bagi memupuk semangat muhibah.

Dalam satu kenyataan minggu lepas Sultan Sharafuddin yang menghadiri festival itu pada 2016 bersama Duta Jepun ke Malaysia ketika itu bertitah baginda mendapati sambutan itu tidak termasuk unsur keagamaan atau ritual.

Baginda turut mencadangkan kepada menteri agama untuk menghadiri majlis itu sendiri dan membezakan antara budaya dan agama.

Sultan Selangor bertitah Festival Bon Odori adalah acara kebudayaan yang diadakan di Selangor untuk membina hubungan antara rakyat Malaysia dan minoriti Jepun. – 15 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen