Jangan kritik tanpa fahami kehakiman, kata Tengku Maimun


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man berkata komen terhadap badan kehakiman dibuat semata-mata atas sentimen dan bukan pemahaman undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2022.

KETUA Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man membalas kritikan mereka yang membuat kenyataan tanpa terlebih dahulu memahami penghakiman yang ditulis oleh mahkamah.

Beliau menjawab komen beberapa ahli politik yang menyerang badan kehakiman selepas panel lima hakim diketuai olehnya membatalkan rayuan Najib dalam kes SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau berkata komen itu dibuat semata-mata atas sentimen dan bukan pemahaman undang-undang.

“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan mengenai perkara yang anda tidak faham yang akan membawa kepada huru-hara jika anda mengatakan sesuatu yang anda tidak faham.

“Anda tidak mempunyai pengetahuan asas, anda tidak mempunyai pemahaman penuh namun anda membuat kenyataan mengenainya. Itu tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan Ke-2 2022 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Tengku Maimun berkata kenyataan ahli politik itu menunjukkan kekurangan pemahaman yang jelas.

“Pendapat peribadi saya ialah komen itu menunjukkan kekurangan pemahaman mereka kerana mereka tidak membaca penghakiman.

“Kalau tak baca, tak faham, kalau tak faham, mereka akan buat komen yang tidak sesuai dan tidak relevan dengan isu itu,” katanya. 

Mereka sepatutnya berunding dengan mereka yang lebih arif sebelum bersuara, kata Tengku Maimun.

“Anda bertanya kepada orang yang betul, jangan hanya membuat kesimpulan tanpa memahami sepenuhnya.

“Itu perkara asas, bukan? Jika anda tidak faham, anda bertanya,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Badan Peguam Malaysia yang menyokong badan kehakiman dan menegur ahli politik amat dihargai.

“Saya amat bersyukur kerana Badan Peguam Malaysia mengeluarkan kenyataan akhbar dan mereka menjelaskan kedudukan sebenar mengapa kes diputuskan sedemikian dan juga mengapa ahli politik tidak perlu membuat kesimpulan atau membuat kenyataan.

“Saya sangat berterima kasih atas sokongan,” tambahnya. – 10 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen