Tekanan mental, kewangan dorong warga asing bunuh diri, kata aktivis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kekurangan sokongan moral, bebanan kewangan, penindasan majikan dan ketiadaan perlindungan hak meningkatkan tekanan mental pekerja asing dan pelarian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2022.

KURANGNYA sokongan moral secara terbuka terutama ketika pandemik meningkatkan kecenderungan warga asing dan pelarian mengalami tekanan mental sehingga menyebabkan kejadian bunuh diri, kata aktivis.

Tambah mereka, kebanyakan kes melibatkan warga asing yang sudah berkeluarga dan dibebani masalah kewangan terutamanya mereka dalam kumpulan usia 26 hingga 45 tahun.

“Bagi rakyat tempatan, sokongan moral dan talian hayat seperti BefriendersKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah lebih mudah diakses berbanding warga asing dan pelarian,” kata Pengarah Eksekutif NGO Inisiatif Utara Selatan Adrian Pereira.

“Bagi golongan ini, menceritakan masalah kepada orang lain masih satu ‘taboo’ selain kekangan bahasa menyebabkan mereka lebih bersikap tertutup hingga mengalami tekanan mental hingga cenderung untuk bunuh diri.”

Menurut Adrian, angka kematian akibat bunuh diri warga asing dan pelarian juga mungkin lebih tinggi daripada dilaporkan dan kini dilihat semakin meningkat sejak pandemik.

“Sektor perladangan dan pekerja domestik adalah antara dua sektor yang paling banyak mengalami tekanan mental akibat bekerja tanpa cuti, tempat kerja yang jauh terasing, hostel atau tempat tinggal yang sesak dan kurang kemudahan awam.

“Bagi sektor perkhidmatan seperti pengawal keselamatan pula, mereka berdepan dengan risiko dipukul selain bekerja lebih 12 jam sehari, kerja lebih masa tanpa bayaran, waktu buang air yang terhad dan dihalang daripada membuat laporan salah laku terhadap mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kejadian bunuh diri warga asing dilaporkan sering berlaku dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga dan kehilangan sumber pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2022.

Jelasnya, faktor -faktor ini menjawab soalan mengenai masalah kesihatan mental dan kadar kematian yang tinggi di kalangan pekerja asing dan pelarian.

Malah, menurut Adrian, Kedutaan Nepal di Malaysia pada tahun 2021 mengeluarkan data yang seramai 284 pekerja Nepal meninggal dunia di Malaysia pada tahun 2020 dan daripada jumlah itu, 46 adalah akibat bunuh diri.

Pada 2019, 49 membunuh diri daripada 298 kematian, dan pada 2018, jumlahnya 45 daripada 347 kematian, katanya.

Selain itu, kata Adrian, ketagihan alkohol dan pergaduhan turut menjadi faktor sebahagian besar kematian warga asing di Malaysia selain penyakit seperti tiberculosis, hati dan denggi. 

Mengulas lanjut mengenai faktor persekitaran kerja, Adrian berkata, persekitaran yang terasing dan jauh dari masyarakat awam memberi peluang kepada majikan melakukan eksploitasi dan pelanggaran kontrak dan bebas daripada hukuman.

Berdasarkan pengalamannya menguruskan kes, Adrian menambah, pengurusan langsung pekerja asing terutama berstatus kontrak atau yang tiada dokumen rasmi selalunya dibuat oleh pihak ketiga menerusi subkontrak.

Jelasnya, menjadi perkara biasa untuk penyelia pihak ketiga ini menggunakan serangan fizikal untuk menghalang pekerja daripada membangkitkan soalan, membuat laporan mahupun permintaan seperti cuti atau bayaran untuk kerja lebih masa seperti yang dinyatakan dalam kontrak mereka.

“Ia secara tidak langsung memberikan (syarikat pihak ketiga) untuk menguruskan mengikut cara mereka, tanpa liabiliti kepada syarikat.

“Jadi syarikat sentiasa terlepas (daripada tindakan).”

Persekitaran yang terasing dan jauh dari masyarakat awam memberi peluang kepada majikan melakukan eksploitasi dan pelanggaran kontrak dan bebas daripada hukuman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2022.

Menurut Adrian, kebanyakan majikan juga keberatan untuk membayar upah tambahan kepada pekerja atau mengambil lebih ramai pekerja bagi memenuhi syif tugasan kerana ia akan meningkatkan kos.

Kebanyakan negara asing seperti Nepal dan Indonesia menyenaraikan jumlah syarat dalam kontrak standard untuk majikan Malaysia yang ingin mengambil pekerja warga mereka.

“Mereka sepatutnya bekerja lapan jam sehari dan enam hari seminggu.

“Pekerja juga diberikan sekurang-kurangnya lapan hari cuti tahunan, 14 hari cuti sakit dan 60 hari cuti setahun jika mereka dimasukkan ke hospital.”

Tetapi, faedah cuti ini seringkali diabaikan majikan.

Pelarian ditekan dan tertekan

Bagi kumpulan aktivis pelarian, Alliance of Chin Refugees, tekanan yang dihadapi pelarian akibat tidak boleh bekerja secara formal selain kurang akses kepada kemudahan awam mengakibatkan komuniti itu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

“Tanpa pemberian hak kepada pelarian untuk bekerja di Malaysia secara formal , mereka sentiasa hidup dalam tekanan.

“Ini ditambah lagi dengan mereka yang sudah berkeluarga, sama seperti kes seorang pelarian Myanmar yang membunuh diri selepas mencampak tiga anaknya dari Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), baru - baru ini,” kata jurucakapnya kepada The Malaysian Insight.

Dalam kejadian 2 Ogos lalu, lelaki Myanmar itu dan dua anaknya meninggal dunia, manakala seorang lagi anaknya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan dilaporkan kritikal.

Pekerja warga asing dan pelarian sering dalam ketakutan kerana bimbangkan serbuan pihak berkuasa, walaupun mereka mempunyai dokumentasi yang sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2022.

Kata jurucakap itu lagi, pihak berkuasa terutamanya Jabatan Imigresen juga patut mengurangkan atau menghentikan serbuan ke atas petempatan pelarian yang secara langsung memberi tekanan mental kepada mereka.

“Pelarian selalu ditahan dalam serbuan Imigresen dan ini telah menimbulkan ketakutan besar sambil menjejaskan kebebasan pergerakan kami dengan teruk. Walaupun mempunyai kad UNHCR, ia tidak menjamin kami tidak akan ditangkap oleh polis atau Imigresen.

“Kehilangan pekerjaan, ketidakupayaan untuk menyara keluarga mereka atau membayar sewa dan kekurangan laluan selamat untuk mencari suaka adalah beberapa sebab pelarian terpaksa membunuh diri.

“Mereka bukan hanya tidak mempunyai hak untuk bekerja, tetapi mereka juga tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki dan pendidikan berstruktur untuk anak-anak mereka,” katanya.

Di bawah undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, jurucakap itu berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk menjamin hak pelarian dan pencari suaka. – 28 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen