Mengapa kanak-kanak pelarian masih di pusat tahanan, soal kumpulan aktivis 


Hailey Chung Wee Kye

Penahanan kanak-kanak pelarian di depoh tahanan imigresen akan memberi kesan kepada psikologi dan tumbesaran mereka, kata kumpulan aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2020.

KUMPULAN hak asasi pelarian menggesa Putrajaya melaksanakan program pilot mengenai alternatif untuk penahanan (ATD) bagi kanak-kanak pelarian yang ditahan di depoh tahanan imigresen dengan segera.

Asylum Access Malaysia (AAM) berkata penangguhan program ini sangat membingungkan terutama ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri - telah memberi jaminan pada bulan Julai 2019 bahawa rancangan ATD sedang berjalan.

ATD menganjurkan agar anak-anak ditempatkan dalam pengaturan penjagaan alternatif berasaskan komuniti dan bukannya depoh tahanan imigresen (DTI).

“Banyak negara membebaskan tahanan ketika Covid-19, terutama kanak-kanak tetapi nampaknya kita menahan lebih banyak kanak-kanak,” kata pengarah eksekutif AAM Tham Hui Ying kepada The Malaysian Insight.

Menteri Dalam Negeri mendedahkan di Parlimen bulan lalu, kira-kira 756 kanak-kanak termasuk pelarian dan yang tiada kewarganegaraan, ditahan di DTI dan lebih separuh daripada mereka tanpa ibu bapa atau penjaga. 

“Apa yang lebih membimbangkan kita dengar di Parlimen terdapat 1,355 kes positif Covid-19 di DTI antara Ogos dan 8 Disember, 2020. Ini tidak termasuk kluster DTI sebelum Ogos, yang menyaksikan kira-kira 700 lagi kes. 

“Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengenal pasti pusat tahanan sebagai kawasan berisiko tinggi namun nyawa kanak-kanak ini terancam apabila ditahan di kawasan sesak yang mana penjarakan fizikal tidak mungkin dapat dilakukan,” kata Tham.

Desakan untuk ATD bermula pada tahun 2013 oleh kumpulan masyarakat sosial Suka Society, Yayasan Chow Kit dan Gabungan Penahanan Antarabangsa. Pada tahun berikutnya, agensi kerajaan, Suhakam, dan kumpulan masyarakat sivil membincangkan mengenai program perintis ATD.

Program perintis ini akan menyaksikan pembebasan lima tahanan kanak-kanak secara giliran ke dalam program penempatan masyarakat yang dibiayai dan dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan masyarakat sivil yang terlibat.

Tham berkata walaupun semua proses dan persiapan selesai, “Setakat ini kami tidak dapat menjamin pembebasan sekurang-kurangnya lima kanak-kanak sebagai permulaan.”

Peguam itu juga berkata ia juga bukan cara terbaik untuk menahan kanak-kanak. 

Beliau turut berkongsikan cerita mengenai seorang pelarian muda yang pernah ditahan di Malaysia. 

“Dia ditahan selama sembilan hari, namun baginya ia seperti sembilan tahun, dan trauma penahanan itu terus memberi kesan kepadanya beberapa tahun kemudian. 

“Terdapat kajian klinikal yang dijalankan oleh sebuah badan terkemuka yang menunjukkan kanak-kanak di pusat tahanan imigresen, walaupun dalam tempoh singkat, boleh mengalami impak terhadap kebajikan fizikal dan psikososialnya 

“Ini termasuk tumbesaran terbantut terhadap kanak-kanak, kekurangan nutrisi, mencederakan diri dan cenderung untuk membunuh diri.”

Berbanding negara lain di Asean, Tham berata setakat awal 2019, tiada kanak-kanak pencari suaka yang ditahan di depoh tahanan imigresen Indonesia. 

Thailand turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan yang menyaksikan ratusan kanak-kanak bersama ibu mereka dibebaskan ke dalam masyarakat, katanya. 

“Tindakan untuk terus menahan anak-anak di IDC, bukan sahaja melanggar kewajipan antarabangsa tetapi juga langkah keterbelakang berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.” – 11 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen