Imigresen tahan bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh


Kalidevi Mogan Kumarappa

BEKAS pesuruhjaya tinggi Bangladesh di Malaysia Mohamed Khairuzzaman yang menetap di Malaysia sejak 2009 sebagai pelarian ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kediamannya di Ampang.

Menurut sumber Mohamed ditahan sepasukan pegawai daripada JIM dengan bantuan polis Bangladesh pada pagi semalam di kediamannya di sebuah kondominium di Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

“Ya, dia (Mohamed) ditahan pagi semalam dan akan dihantar balik ke negara asalnya. JIM hanya membantu polis Bangladesh,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Berdasarkan sumber lain pula, Mohamed yang bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sejak Ogos 2007 hingga Januari 2009 diminta pulang ke negara asal selepas berlakunya pertukaran pucuk pimpinan kerajaan negara itu.

Sebelum itu Mohamed yang merupakan pesara tentera pernah didakwa dan dilepaskan di mahkamah pada tahun 1975 atas dakwaan pembunuhan berunsurkan politik.

Bagaimanapun selepas tamat tugasnya di Malaysia Mohamed yang memperoleh kad UNHCR di Kuala Lumpur terus menetap di negara ini sebagai pelarian.

“Ketika ditahan, tiada alasan diberikan oleh polis Bangladesh namun semua ini dipercayai berpunca dari isu politik di negara asalnya,” katanya. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen